Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my
TANPA peruntukan khusus untuk program pelapis ketika ini, Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) tiada pilihan lain apabila lima pemain bowling pelapis kebangsaan kini diserap ke skuad elit untuk menyertai 14 pemain sedia ada bagi mengharungi cabaran sepanjang tahun ini.
Jika dilihat daripada senarai itu, kelima-limanya adalah atlet wanita, Sin Li Jane, Siti Shazwani Ahmad Suhaimi (gambar), Jacqueline Sijore, Dayang Khairuniza Dhiyana dan Hee Kar Yen tetapi persatuan mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Pengarah Prestasi Tinggi MTBC, Cheah Ban Cheng berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas Majlis Sukan Negara (MSN) tidak lagi berhasrat membiayai program latihan biarpun berpendapat sumbangan skuad pelapis dalam membentuk skuad negara yang mantap ketika ini tidak boleh dipandang ringan.
“Kelima-lima atlet tersenarai berdasarkan prestasi sepanjang tahun lalu dan tahun ini ketika Kejohanan Asia di Abu Dhabi, Januari lalu.
“Apatah lagi tahun ini, kami berazam mengembalikan kegemilangan skuad wanita sebagai persediaan ke Kejohanan Wanita Dunia di Hong Kong, September ini serta Sukan Sea pada November.
“Pada mulanya, kami bercadang mengambil empat pemain tetapi memandangkan Shalin Zulkifli berehat sepanjang tahun ini, lima pemain dipilih,” katanya.
Shalin yang kini hamil hasil perkahwinannya dengan bekas pemain bowling kebangsaan, Azidi Ameran dijangka kembali ke persada bowling tahun depan.
Pemain lelaki yang masih berada dalam skuad ketika ini ialah Adrian Ang, Alex Liew, Zulmazran Zulkifli, Aaron Kong, Daniel Lim, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Muhd Nur Aiman Khairuddin manakala Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sharon Koh, Zatil Iman Abdul Ghani, Wendy Chai dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi menganggotai skuad wanita.
Pengukuhan skuad wanita dilihat menjadi misi penting tahun ini apabila mereka hanya pulang dengan pingat gangsa berpasukan di Sukan Asia Guangzhou November lalu.
No comments:
Post a Comment