4 Apr 2009
SUKAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR: Jurulatih atletik sepenuh masa yang menerima gaji dari Majlis Sukan Negara (MSN) akan dikenakan tindakan, termasuk kontrak tidak disambung, jika anak buah mereka gagal menyerlah semasa beraksi di Sukan SEA Laos pada Disember nanti.
Timbalan Presiden Kesatuan Atletik Amatur Malaysia (MAAU), Karim Ibrahim, berkata ada di antara jurulatih itu telah berkhidmat selama 13 tahun tetapi tidak mampu melahirkan seorang pun atlit yang dapat meraih emas Sukan SEA.
'Sukan SEA merupakan temasya peringkat rendah. Jika sebutir emas pun tidak mampu dicapai oleh atlit bimbingannya, itu bermakna jurulatih itu tidak cekap,' katanya.
Beliau berkata penekanan terhadap taraf Sukan SEA juga dibuktikan apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sendiri mencadangkan hanya atlit pelapis dihantar ke temasya dwitahunan itu.
Karim berkata ketika ini terdapat 10 jurulatih atletik sepenuh masa yang berkhidmat di bawah MSN.
Mereka ialah Hanafiah Nasir (lari berhalangan), Harun Rasheed (pecut), K. Jayabalan (400 meter), Alforo (lompat tinggi), Vladimir Hristiv Simenov (400 meter, 4x400 meter), S. Muthiah (jarak jauh), Lou Cwee Peng (lompat jauh), Mohd Nazar Abdul Rahim (lontaran), Frantisek Petrovic (lontaran) dan Mohd Mansahar Abd Jalil (lompat bergalah).
Sebahagian besar daripada jurulatih itu menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya melahirkan atlit yang berpotensi meraih pingat di peringkat Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik, katanya.
Sementara itu, Karim berkata Program Pasti Menang 2009-2019 yang bertujuan melahirkan atlit bertaraf Olimpik akan memberi lebih tumpuan kepada acara lompat jauh dan lompat tinggi.
Beliau, yang juga pengerusi kejurulatihan dan pembangunan MAAU, berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya dalam tiga temasya Olimpik, atlit Malaysia berpeluang cerah meraih pingat dalam dua acara itu berbanding acara-acara lain.
'Secara purata, atlit yang memenangi pingat gangsa di Olimpik melakukan lompatan antara 8.0 meter dengan 8.4 meter dalam acara lompat jauh dan 2.30 meter hingga 2.35 meter dalam lompat tinggi.
'Rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh kini dipegang oleh Josbert Tinus dengan catatan 7.88 meter, sementara rekod lompat tinggi oleh Lee Hup Wei dengan ketinggian 2.27 meter.
'Ini menunjukkan jurang lompatan atlit kita tidaklah terlalu jauh berbanding pemenang pingat Olimpik. Kita berada di peringkat itu tetapi perlukan usaha serta teknik yang betul,' jelas Karim.
Sehubungan itu, beliau berkata MAAU turut menyediakan pelan tindakan bagi Program Pasti Menang 2009-2019 untuk mencari atlit pelapis yang berpotensi serta mengadakan bengkel pada awal Mei ini untuk mendapatkan pandangan demi menjayakan program itu. -- Bernama.
No comments:
Post a Comment