Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sukan angkat berat negara tidak ketandusan atlet pelapis berbakat yang boleh menjadi pengganti kepada atlet senior berdasarkan pencapaian mereka pada kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 1 yang berakhir di Kompleks Bandar Baru Bangi, kelmarin.
Demikian rumusan Setiausaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Azhar Derani ketika mengulas kemampuan atlet pelapis angkat pada kejohanan tersebut.
"Antara atlet pelapis yang menyinar pada kejohanan kali ini termasuk Mohd. Anas Malik dalam kategori 56 kilogram, Mohd. Fadhli Ahmad dari Melaka yang bertanding kategori 62 kg, Mohd. Hafifi Mansor dan Mohd. Fuazi Hasibullah, kedua-duanya dalam kategori 69kg.
"Selain itu kita mempunyai Kenneth Cory Dominic yang baru berusia 16 tahun dalam kategori 77kg dan Elisha Louis Tan Kim Ho dari Labuan dalam kategori 105 kg," katanya ketika dihubungi, semalam.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara keseluruhan kejohanan tersebut dengan pungutan 11 pingat emas, meninggalkan Pahang dan Johor yang sekadar meraih dua pingat emas.
Tambah Azhar, jika diberikan jurulatih berpengalaman, corak latihan dan pemakanan yang betul, atlet pelapis terbabit mampu menonjol pada tahap tertinggi seperti Sukan Komanwel dan Sukan Sea.
"Masalahnya di PABM kami sepenuhnya bergantung kepada bantuan Majlis Sukan Negara (MSN). Ini bermakna kami mempunyai bajet yang kecil untuk menjalankan program latihan.
"Selain itu, jurulatih pelapis angkat berat negara, Mohd. Nor Amin juga mempunyai tanggungjawab lain iaitu melatih skuad senior.
"Ini menyebabkan sedikit kesukaran buatnya memberikan fokus kerana memegang dua jawatan serentak.
"Namun, buat masa ini kebanyakan atlet terbabit mendapat sokongan sepenuhnya ketika pulang berlatih ke negeri masing-masing dan PABM banyak membantu daripada situ," katanya.
No comments:
Post a Comment