Saturday, April 23, 2011

Program Pelapis Negeri Johor

JOHOR BAHRU - Sejajar dengan hasrat meningkatkan prestasi jurulatih Program Pelapis Negeri Johor, pelbagai seminar kejurulatihan dianjurkan melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), dan Pusat Satelit Johor.

Selain itu, seminar berkenaan turut mendapat kerjasama dari pihak luar seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) terutamanya dari segi penyertaan dan modul yang dijalankan sepanjang program.

Ketua Unit Sukan Berprestasi Tinggi (USPTN) Negeri Johor, Hafiszal Tukemin berkata, antara seminar yang dijalankan sepanjang tahun ini, ialah Seminar Sains Sukan dan Program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan (CCE).

“Seminar Sains Sukan yang berlangsung pada Julai lepas, merupakan program anjuran bersama MSNJ, ISN dan UTM, manakala program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan pada Jun lepas merupakan program anjuran MSN,” katanya.

Beliau berkata, seminar berkenaan merupakan program yang dijalankan pada setiap tahun bertujuan memberikan pendedahan mengenai perkembangan terbaru dalam dunia sukan bagi memantapkan lagi latihan yang diberikan kepada atlet pelapis.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada semua jurulatih dan semua penggiat sukan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai bidang kejurulatihan”, katanya.

Beliau memberitahu, bagi program pelapis negeri, seramai 40 orang jurulatih bertanggungjawab melatih atlet dalam 16 acara sukan dan kebanyakannya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang sukan.

“Di bawah USPTN, kita mempunyai jurulatih secara sambilan, sepenuh masa dan dari luar negara seperti Indonesia dan Bulgaria bagi acara sukan lawan pedang dan angkat berat,” katanya.

Secara keseluruhannya, seminar yang diadakan ini lebih menekankan kepada pendidikan dalam sukan seperti pemakanan, diet, fisioterapi dan latihan-latihan asas dalam sukan.

Sambutan yang diterima daripada program berkenaan sangat baik serta terbukti dengan jumlah penyertaan yang diterima mencatatkan angka yang tinggi ditambah lagi dengan penyertaan dari pelajar UTHM.

“Program anjuran bersama di antara Pusat Satelit Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor serta UTM telah diadakan di Dewan Gemilang MSN Johor pada 29 Julai 2010 yang lalu telah dihadiri oleh peserta yang terdiri dari jurulatih MSN, MSNJ dan UTHM,” katanya.

Beliau berkata, program yang dikendalikan di bawah unit kejurulatihan MSN ini, amat berguna bagi meningkatkan lagi prestasi jurulatih terutamanya dalam mendedahkan perkembangan terbaru dunia sukan.

http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8191385.asp

No comments:

Post a Comment