21/6/2007
Oleh Mohd Amin Jalil
MENYEDARI prestasi peninju negara untuk menggalas cabaran di Sukan Sea XXIV Korat Disember nanti masih belum memberangsangkan, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) berhasrat memberi pendedahan latihan lebih luas di luar negara.
Tujuh peninju terdiri daripada empat peninju elit dan tiga pelapis akan dihantar menjalani latihan di Kyrgyzstan mulai 26 Jun hingga 21 Julai ini bagi meningkatkan prestasi mereka bagi menggalas cabaran sebenar di Korat nanti.
Setiausaha Kehormat PTAM, Mejar (B) Maulud Othman, berkata peninju yang terpilih adalah Zamzai Azizi Mohamad, Eddy Kalai, Fernaudus Paulus dan Mohd Nazri Mohd Yusof manakala tiga pelapis pula membabitkan Zulkarnain Mustapha, Mohamad Ali Abdul Karim dan Mohd Farhan Harun.
Menurutnya, pemilihan Kyrgyzstan sebagai lokasi latihan terbaru adalah berdasarkan kelebihan yang ada terutama hubungan jurulatih Kalen Asanov selain rakan sepelatih yang mantap dan diyakini mampu meningkatkan prestasi peninju ke tahap lebih tinggi menjelang cabaran di Korat.
“Penghantaran peninju ke sana dibuat mengambil kira prestasi semasa yang dikenal pasti masih mempunyai banyak kelemahan terutama dari segi daya tahan dan teknik ketumbukan.
“Usaha meningkatkan prestasi amat penting kerana PTAM mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya dwi-tahunan itu.
“Sehubungan itu, PTAM berharap pendedahan latihan dan penyertaan di beberapa kejohanan luar negara akan dapat meningkatkan mutu peninju dalam merealisasikan sasaran di Sukan Sea nanti,” katanya, semalam.
No comments:
Post a Comment