Oleh TAN MING WAI
KUALA LUMPUR - Bekas jaguh angkat berat negara, Matin Guntali berpendapat corak pembangunan sukan itu di negara ini tidak akan mampu melahirkan jaguh dunia.
Bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel Victoria 1994 itu mencadangkan agar Malaysia menerapkan pembangunan akar umbi seperti di China iaitu mengenal pasti bakat seseorang atlet angkat berat itu sejak usia kanak-kanak lagi.
"Di China, kanak-kanak dikenalpasti bakat mereka di sekolah sebelum kemudiannya diberi latihan rapi dan pendedahan secukupnya. Dan yang paling penting, ibu-bapa merelakan anak mereka terlibat dalam sukan secara serius. Hasilnya, ramai jaguh angkat berat berjaya dilahirkan," katanya yang juga jurulatih skuad pelapis kebangsaan ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Matin menambah, pembangunan sukan angkat berat harus dimulakan di peringkat negeri secara menyeluruh.
"Tiada gunanya apabila tiba sesuatu kejohanan, baru mahu diadakan pemilihan dan selepas itu menghimpunkan mereka untuk menjalani latihan berpusat dalam tempoh sebulan dua.
"Saya lihat trend ini berlaku di kalangan persatuan negeri. Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat, cuma kurang dari segi teknikal," ujarnya.
No comments:
Post a Comment