Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2010/05/09
PELUMBA pelapis wanita kebangsaan, Jupha Somnet menebus kekecewaan acara ujian masa individu (20 kilometer) sebelah pagi di Kejohanan Lumba Basikal Remaja yang bermula di Melaka, semalam dengan menjuarai acara kriterium (25.5 kilometer) pada sebelah petang.
Pemenang empat pingat Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2010 di Dubai itu, mencatat 52 minit 38.66 saat - hanya 0.02 saat lebih pantas ke atas pesaing terdekat, Nor Azimah Abdul Rashid. Siti Nurshahirah Zainol di tempat ketiga dengan 52:38.72s.
Sebelum itu, Jupha sekadar di tempat kedua acara ujian masa dengan Nor Azimah muncul juara, manakala Siti Nurshahirah di tempat ketiga.
Dalam acara ujian masa individu bawah 18 tahun lelaki, pelumba Pelapis Serantau Ipoh, Mohd Syariwan Shaari muncul juara apabila mencatat 32:34.30 saat pada perlumbaan sejauh 20 km. Rakan sepasukan, Mohd Al-Ghazali dan Mohd Naimi Ngah muncul pelumba kedua dan ketiga terpantas.
Acara kriterium kategori berkenaan pula menobatkan Mohd Ekbar Damanhuri, juga dari skuad Pelapis Serantau, yang mencatat 47:19.99 saat, diikuti Ahmad Fahmi Farhan Ahmad Fuat dari Pahang dan Abdul Rashid Ibrahim yang mewakili ASZU.
No comments:
Post a Comment