26/5/2007
Oleh Hamdan Saaid
MENYEDARI kepentingan barisan atlit pelapis yang mampu menjadi kumpulan sokongan terhadap skuad elit pada masa depan, Majlis Sukan Negara (MSN) tampil dengan pendekatan menyelaraskan program pelapis di segenap peringkat di seluruh negara.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, satu unit baru di bawah nama Cawangan Pelapis MSN yang akan diketuai Jefri Ngadirin, dibentuk bagi menyelaras kegiatan membabitkan program pelapis di akademi kebangsaan, serantau mahupun negeri.
“Kami berharap dapat menyiapkan satu pelan yang bertujuan melihat pembangunan program ini secara keseluruhan.
“Jika sudah ada satu kumpulan atlit pelapis di segenap peringkat, saya yakin kita tidak akan menghadapi masalah lagi untuk membekalkan atlit kepada skuad elit pada masa depan,” katanya selepas merasmikan bengkel penyelarasan program itu, semalam.
Sebanyak 28 jenis sukan - antaranya angkat berat, bola sepak, bola tampar pantai (wanita), pelayaran, sepak takraw, tinju, karate, wushu, memanah, menembak, olahraga, pingpong, silat, akuatik, badminton, golf, bowling tenpin, hoki, skuasy dan berbasikal - terbabit dalam program penyelarasan itu.
Beliau berkata, program pelapis itu tidak akan bercanggah dengan program pembangunan mahupun program lain seperti Sukan Teras kerana ia menumpukan hanya kepada skuad pelapis dengan usia atlit antara 13 dan 18 tahun.
“Sebenarnya banyak bakat di peringkat bawahan yang terbiar tanpa sebarang pengawasan sebelum mereka terpilih ke peringkat elit. Kelompok pertengahan ini kadang-kadang terus hilang kerana masalah keluarga yang mementingkan akademik daripada sukan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dua pendekatan diambil iaitu pertama bagi mana-mana atlit yang tidak terbabit dengan persekolahan, mereka akan ditempatkan di bawah program sepenuh masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) atau akademi peringkat negeri.
Bagi golongan kedua, iaitu atlit-atlit yang masih bersekolah pihaknya akan mengambil berat mengenai persekolahan mereka bagi menjamin mereka terus membabitkan diri dalam bidang sukan yang diceburi.
“Buat masa ini, kami belum ada sebarang peruntukan kerana belum tahu saiz program ini. Apabila selesai bengkel ini nanti, kami boleh menyiapkan bentuk peruntukan sebelum saya bentangkan pada mesyuarat Lembaga MSN kelak,” katanya.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment