BUKIT JALIL, (Stadiumastro) - Skuad berbasikal Malaysia mempunyai masa depan cerah meskipun sekadar memungut dua pingat emas dan enam gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Perkara itu disuarakan jurulatih velodrom remaja, Suod Hussin.
Memanglah jika hendak dibanding dengan pencapaian di Kalimantan, pencapaian itu dikira lebih baik.
Sama sekali bukannya mahu memperkecilkan pencapaian keringat skuad pelapis, namun sekiranya diimbas kembali pada tahun 2006 di pentas yang sama, Azizulhasni Awang secara peribadi menggondol tiga pingat emas menerusi acara keirin, pecut dan percubaan masa individu.
Hakikat itu diakui Suod berikutan kurang pelumba berkaliber sepertinya untuk diketengahkan selepas itu namun beliau pantas meredakan kebimbangan yang timbul atas beberapa faktor.
"Bakat Azizulhasni telah digilap selama tiga tahun di Majlis Sukan Negara (MSN). Sebab itu persediaannya dalam kejohanan remaja sebelum ini lebih mantap.
"Para pelumba sekarang ini dipilih daripada pusat pelapis serantau di Ipoh dan juga di Butterworth selepas kejohanan Sportsexcel. Seramai 12 pelumba telah dipilih dan dibentuk dalam tempoh tiga bulan bagi menghadapi ACC.
"Malah, kami tidak mempunyai penilaian terhadap pasukan yang bertanding kerana tidak tahu prestasi pelumba pelapis luar negara sebagai persediaan.
Skuad berbasikal negara setakat ini mempunyai taruhan terbaik daripada Muhd Fattah Amri Zaid dan Mohd Affy Qhairant yang mampu menjejaki langkah Azizulhasni Awang.
Namun menurut Suod lagi, "Saya mengenal pasti dua atau tiga pelumba lagi di pusat pelapis serantau mempunyai potensi besar namun mereka masih belum layak bertanding lagi kerana faktor umur."
Keyakinan jurulatih itu lahir daripada pemerhatiannya di pusat pelapis serantau yang terletak di Ipoh yang menumpukan pembangunan pelumba trek.
"Saya yakin skuad pelapis yang sedia ada ini dapat bersaing di peringkat dunia dalam tempoh dua tahun lagi. Saya berpendapat pencapaian mereka akan bertambah
baik selain Malaysia tidak mempunyai masalah untuk memilih pelumba," katanya bagi menjelaskan program yang baru dimulakan pada 2008 itu.
Sungguhpun begitu, beliau akur memang terdapat beberapa pelumba berbakat yang digilap tetapi kelibat mereka tidak bertahan lama dan menyepi begitu sahaja.
Menurut Suod lagi, Malaysia kini dalam proses melahirkan lebih ramai pelumba berbakat lagi. Tapi beliau tidak tahu apa puncanya masalah untuk membawa masuk mereka ke Bukit Jalil sambil berharap lebih ramai pelumba junior yang dapat diserapkan ke skuad elit.
"Semua itu bergantung kepada skuad elit, tugas kami setakat membentuk pelumba pelapis sahaja.
Jurulatih itu turut mendedahkan mereka kini sedang giat menjalankan usaha mencari pelumba wanita velodrom memandangkan pembabitan golongan itu dalam acara lebuhraya lebih ramai.
"Kami baru sahaja mengadakan klinik dan kem basikal velodrom di Ipoh minggu ini. Program ini mendapat sambutan baik di peringkat negeri di mana kami memberi pendedahan yang lebih terperinci di velodrom. Selama ini kami banyak bertumpu kepada lebuhraya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment