Saturday, April 23, 2011

Pesaka pilih 14 pesilat persiap diri hadapi Sukan Sea

HANYA 14 daripada 24 pesilat yang dipilih menyertai skuad elit sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Indonesia, November ini.

Keputusan itu diumum kan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) selepas Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan 10 pesilat lain diserapkan ke skuad pelapis bagi melengkapkan senarai 24 atlet ke sukan dwi-tahunan itu.

Penyelaras Pesaka, Osman Nok berkata, seramai 14 pesilat elit melaporkan diri ke MSN, Bukit Jalil, semalam manakala 10 atlet akan menjalani latihan mengikut fasa yang ditetapkan Pesaka.

Menurutnya, latihan pesilat negara bukan saja tertumpu terhadap mental dan fizikal, malah soal kepantasan turut diberi keutamaan.
“Dari segi kepantasan dan ketangkasan, silat memerlukan tumpuan lebih bagi seorang pesilat untuk menewaskan lawan.

“Pada masa sama, latihan intensif itu bagi memperkasakan skuad negara terutama bersaing dengan tuan rumah yang dikatakan bakal memberi tentangan sengit selain pesilat Vietnam,” katanya semalam.

Biarpun Pesaka belum menentukan sasaran pingat emas di Indonesia, Osman berkata, semua pesilat harus memberi komitmen 100 peratus jika mahu melakar kejayaan.
“Ketepikan soal kekuatan lawan, sebaliknya tumpuan utama semua pesilat ialah menguatkan fizikal dan mental,” katanya.

Pada Sukan Sea Laos 2009, skuad negara berjaya meraih lapan pingat, empat emas dan gangsa. Sehubungan itu, Pesaka mengharapkan pencapaian lebih baik kerana tuan rumah menambah enam kategori iaitu 18 berbanding 12 kategori di Laos.
Penambahan kategori terutama dalam acara silat seni iaitu enam daripada dua kategori di Laos diharap membantu menambah pungutan pingat.

http://www.malaysmart.com/sukan/pesaka-pilih-14-pesilat-persiap-diri-hadapi-sukan-sea.html

No comments:

Post a Comment