ARKIB : 30/11/2010
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
Bryan Nickson Lomas antara atlet yang menonjol pada Sukan Asia XVI dalam acara terjun.
KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin program pembangunan atlet pelapis yang dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN) berada pada landasan terbaik bagi membawa kecemerlangan sukan negara pada masa depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada kecemerlangan pasukan negara yang mencapai sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, yang baru berakhir.
Jelasnya, Kementerian secara keseluruhan amat gembira dengan pencapaian yang ditunjukkan atlet negara, merupakan pencapaian terbaik negara dalam sejarah Sukan Asia.
"Program pembangunan atlet kita dalam beberapa acara sukan nyata menunjukkan peningkatan dan itu menunjukkan mereka berpotensi untuk menyinar di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.
"Hoki contohnya berjaya mara ke peringkat akhir sejak sekian lama. Begitu juga acara terjun, biar pun tidak memenangi emas, tetapi pencapaian penerjun muda jelas menunjukkan kita merupakan antara yang terbaik di Asia, malah dapat menewaskan gergasi sukan Asia lain seperti Jepun dan Korea," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Meskipun gagal meraih emas dalam beberapa acara 'harapan' termasuk badminton, Malaysia masih mampu untuk mencatat keputusan paling cemerlang dalam penyertaan negara apabila memperolehi sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa di Guangzhou.
Sementara itu, beliau memberitahu Kementerian melalui MSN sedang menjalankan post mortem bagi mengenal pasti punca prestasi hambar ditunjukkan atlet olahraga dalam kejohanan kali ini.
"Harap pihak media bersabar kerana kajian sedang dijalankan. Kami akan umumkan nanti dan tindakan selanjutnya akan diambil," ujarnya.
No comments:
Post a Comment