Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Thursday, February 5, 2015

Sukan Sea di Singapura khusus untuk pelapis

Sukan Sea di Singapura khusus untuk pelapis
  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin
 1 / 1 
PENYERTAAN Malaysia pada Sukan SEA di Singapura Jun depan adalah lebih kepada mengetengahkan pelapis dan juga atlet pembangunan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  
Katanya jika Sukan SEA sebelum ini, Malaysia memberi fokus kepada pungutan pingat emas iaitu berapa banyak pingat emas boleh dimenangi, tetapi kali ini dasar itu telah diubah.
  
"Jadi, kita menganggap Sukan SEA sebagai peringkat pembangunan dan kita hendak dedahkan pelapis kita. Oleh itu, kita tidak hanya boleh melihat kepada pingat emas semata-mata tetapi kita juga harus lihat kepada pingat secara keseluruhan dan juga prestasi pelapis kita.
  
"Cita-cita kita adalah lebih besar lagi seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kalau setakat Sukan SEA, kita tidak akan sampai ke mana," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2015 oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.
  
Mengenai persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura Jun depan, beliau berkata setakat ini persiapan berjalan lancar dan ia sedang ditingkatkan.   
  
Khairy berkata, Malaysia akan menyertai 35 daripada 36 acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.
  
"Majlis Sukan Negara sedang memperhalusi acara dan juga atlet yang akan kita hantar ke Sukan SEA tersebut," katanya.
  
Sementara itu, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan membuat pengumuman tarikh baharu sambutan Hari Sukan Negara 2015 tidak lama lagi memandangkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada November adalah tidak sesuai kerana keadaan cuaca tidak menentu.
  
Katanya Kabinet juga setuju bahawa Hari Sukan Negara ini akan menjadi acara tahunan.
  
"Kita tetapkan Hari Sukan Negara ini pada hari Sabtu pada tarikh yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Hari Sukan Negara ini akan diadakan serentak di seluruh negara. Yang penting pada hari tersebut kita hendak melihat di seluruh negara dibanjiri dengan rakyat kita yang beriadah, bersukan dan yang terlibat dengan aktiviti kecergasan," katanya.
  
Menteri Besar pula mencadangkan untuk mengadakan hari sukan Negeri Sembilan sebulan sekali.
  
Mohamad berkata, hari sukan negeri itu akan dapat membudayakan konsep hari sukan itu. - Bernama
 
Wednesday, September 3, 2014

Pencapaian di Nanjing cermin kejayaan Olimpik

KEJAYAAN luar biasa kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua merupakan cermin kejayaan yang bakal diraih atlet negara pada cabaran sebenar temasya Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016 dan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020.
Kontinjen negara YOG 2014 bukan hanya berjaya mengatasi pencapaian pada edisi pertama sebelum ini, iaitu dua pingat perak yang disumbangkan oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng di Singapura, empat tahun lepas, tetapi turut membuktikan bahawa Malaysia kini setanding dengan kuasa sukan besar dunia.
Empat pingat negara pada YOG 2014 disumbangkan oleh pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei yang meraih pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa, penerjun negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu (pingat perak) dan 3m papan anjal individu wanita (pingat gangsa) serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, (pingat perak) acara recurve campuran antarabangsa.

Kejayaan itu dianggap luar biasa apabila sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri mahupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat sebelum 20 atlet remaja negara berlepas ke Nanjing.

Ketua pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong berharap pendedahan berguna itu akan dijadikan sebagai pendorong kepada atlet remaja negara untuk menyusun langkah bagi mengejar kejayaan pada masa hadapan tidak kira apa jua kejohanan.

"Mereka (atlet) adalah pelapis yang akan menggantikan atlet elit pada masa hadapan dan kita di MSN berharap hasil daripada usaha itu dapat dicapai pada Olimpik Rio 2016 ataupun Olimpik Tokyo 2020," katanya ketika dihubungi wartawan Bernama dari Nanjing, China hari ini.

Zolkples berkata berdasarkan pencapaian di YOG 2014, beliau dapat lihat peluang cerah menanti atlet remaja negara sekiranya mereka terus berusaha gigih dan mengekalkan persembahan secara konsisten. - Bernama

Thursday, August 28, 2014

Zolkples puji kesungguhan atlet pelapis

  • Zolkples Embong Zolkples Embong
 1 / 1 
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlet pelapis yang beraksi pada Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua.
  
Pasukan negara sehingga hari ini berjaya mengumpul satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
  
MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum ini tidak meletakkan sabarang sasaran pingat kepada kontinjen negara kerana menyifatkan temasya sukan remaja terbesar dunia itu sebagai kejohanan yang bertaraf tinggi.
  
Mengikut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan seseorang atlet
  
Zolkples berkata, beliau bangga dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet pelapis negara dalam temasya empat tahun sekali itu, walaupun ada antara mereka membuat penampilan kali pertama pada kejohanan bertaraf dunia.
  
"Kejayaan ini dapat dijadikan sebangai penanda aras bagi mengukur sejauh mana tahap pencapaian program pelapis negara yang dikendalikan oleh MSN bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu berdaya saing serta mempunyai kemampuan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi wartawan Bernama dari Nanjing, China hari ini.

Beliau berkata, YOG 2014 adalah medan pendedahan terbaik untuk atlet pelapis negara agar mereka lebih bersedia untuk menggalas cabaran selepas ini.
  
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, penghantaran atlet pelapis negara ke Nanjing bukanlah satu pembaziran kerana atlet baharu perlu mendapat pendedahan dalam kejohanan peringkat antarabangsa terlebih dahulu sebelum bagi mencari kematangan sebelum layak untuk menggalas cabaran yang lebih besar apabila berpeluang beraksi dengan atlet handalan dunia," katanya.
  
Zolkples berkata, kontinjen negara pada YOG 2014 berjaya membuktikan kemampuan sebenar mereka hari ini dan beliau berharap ia dapat dijadikan contoh dan pembakar semangat atlet lain.
  
"Saya selalu berpesan kepada atlet agar tidak takut atau mudah putus asa apabila berhadapan dengan lawan yang lebih kuat sebaliknya berazam untuk mengatasi mereka sebelum tamat perlawanan," katanya.
  
Pingat emas pertama negara pada cabaran YOG 2014 disumbangkan oleh pemain badminton remaja negara, Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa.
    
Dua pingat perak Malaysia masing-masing diraih oleh penerjun pelapis wanita negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu dan pemanah pelapis negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli menerusi acara recurve campuran antarabangsa.
  
Pingat gangsa negara pula disumbangkan oleh penerjun remaja Loh Zhiayi menerusi acara 3m papan anjal individu wanita semalam.
  
Kejayaan itu sekaligus mengatasi pencapaian kontinjen Malaysia pada YOG edisi pertama, 2010 yang berlangsung di Singapura apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng membawa pulang dua pingat perak.  - Bernama

Monday, August 25, 2014

YOG 2014: Tiada kutipan rasmi pingat

  • YOG 2014YOG 2014
 1 / 1 
BERBEZA dengan temasya sukan lain, tiada kutipan pingat secara rasmi dikira bagi mengukur prestasi kontinjen negara yang mengambil bahagian pada temasya edisi kedua Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014).
  
Ketua kontinjen negara, Wong Pei Tty berkata penganjur tidak menyediakan carta kutipan pingat bagi negara yang bertanding sebaliknya hanya memberitahu pingat harian yang dimenangi oleh atlet mengikut jenis sukan.
  
"Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan atlet berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, malam ini.
  
Pei Tty berkata bagi dirinya pingat emas yang diraih oleh pemain badminton negara, Cheam June Wei menerusi acara beregu campuran antarabangsa tetap dikira sebagai pingat emas pertama Malaysia.
  
"Walaupun ia merupakan acara campuran, June Wei masih berjuang di gelanggang untuk merangkul pingat emas ini....ini adalah pencapaiannya," katanya.

Kejayaan June Wei itu menimbulkan tanda tanya media Malaysia apabila lagu Negaraku tidak berkemundang dan Jalur Gemilang tidak dinaikkan semasa acara penyampaian pingat hari ini.
  
June Wei yang berganding dengan pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau mengalahkan gandingan Tsuneyama Kanta (Jepun)/Lee Chia Hsin (Taiwan) dalam straight set 21-14 dan 23-21 pada aksi final.

Thursday, September 29, 2011

Program Pelapis Negeri Johor

JOHOR BAHRU - Sejajar dengan hasrat meningkatkan prestasi jurulatih Program Pelapis Negeri Johor, pelbagai seminar kejurulatihan dianjurkan melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), dan Pusat Satelit Johor.

Selain itu, seminar berkenaan turut mendapat kerjasama dari pihak luar seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) terutamanya dari segi penyertaan dan modul yang dijalankan sepanjang program.

Ketua Unit Sukan Berprestasi Tinggi (USPTN) Negeri Johor, Hafiszal Tukemin berkata, antara seminar yang dijalankan sepanjang tahun ini, ialah Seminar Sains Sukan dan Program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan (CCE).

“Seminar Sains Sukan yang berlangsung pada Julai lepas, merupakan program anjuran bersama MSNJ, ISN dan UTM, manakala program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan pada Jun lepas merupakan program anjuran MSN,” katanya.

Beliau berkata, seminar berkenaan merupakan program yang dijalankan pada setiap tahun bertujuan memberikan pendedahan mengenai perkembangan terbaru dalam dunia sukan bagi memantapkan lagi latihan yang diberikan kepada atlet pelapis.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada semua jurulatih dan semua penggiat sukan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai bidang kejurulatihan”, katanya.

Beliau memberitahu, bagi program pelapis negeri, seramai 40 orang jurulatih bertanggungjawab melatih atlet dalam 16 acara sukan dan kebanyakannya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang sukan.

“Di bawah USPTN, kita mempunyai jurulatih secara sambilan, sepenuh masa dan dari luar negara seperti Indonesia dan Bulgaria bagi acara sukan lawan pedang dan angkat berat,” katanya.

Secara keseluruhannya, seminar yang diadakan ini lebih menekankan kepada pendidikan dalam sukan seperti pemakanan, diet, fisioterapi dan latihan-latihan asas dalam sukan.

Sambutan yang diterima daripada program berkenaan sangat baik serta terbukti dengan jumlah penyertaan yang diterima mencatatkan angka yang tinggi ditambah lagi dengan penyertaan dari pelajar UTHM.

“Program anjuran bersama di antara Pusat Satelit Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor serta UTM telah diadakan di Dewan Gemilang MSN Johor pada 29 Julai 2010 yang lalu telah dihadiri oleh peserta yang terdiri dari jurulatih MSN, MSNJ dan UTHM,” katanya.

Beliau berkata, program yang dikendalikan di bawah unit kejurulatihan MSN ini, amat berguna bagi meningkatkan lagi prestasi jurulatih terutamanya dalam mendedahkan perkembangan terbaru dunia sukan.

Sunday, June 12, 2011

Ju Pha idam jadi chef terkenal

Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2011/06/12

JU Pha meraikan kejayaan bersama bersama ayahnya, Som Net yang hadir memberi sokongan dan semangat kepadanya di Velodrom Kuala Lumpur di Cheras baru-baru ini.
Ratu basikal trek SUKMA XIV harap dapat teruskan pengajian dalam bidang kulinari

TAHUKAH anda ratu basikal trek Sukan Malaysia (SUKMA) XIV Kuala Lumpur, Ju Pha Som Net mempunyai minat mendalami bidang masakan dan bercita-cita menjadi seorang chef terkenal.
Dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak pada temasya yang bakal melabuhkan tirainya, hari ini pelumba keturunan Siam itu sebenarnya pakar memasak tomyam apabila lauk itu sering menjadi kegemaran mereka yang merasai ‘air tangan’ ratu trek itu.

“Sebenarnya apabila saya ada masa terluang, saya suka memasak dan sebab itu juga saya berharap dapat meneruskan pengajian dalam bidang kulinari selepas ini,” kata pelumba berusia 18 tahun itu.

“Saya tidak ada idola dalam bidang masakan tetapi memang dari dulu lagi gemar melihat orang memasak atau mencuba memasak sendiri,” katanya.

Sedang memohon pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), nama Ju Pha sebenarnya tidak asing lagi apabila pelumba pelapis itu sudah terlebih dulu mencipta nama di peringkat Asia dengan memenangi empat pingat perak dan satu gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 di Korat, Februari lalu bagi memperbaiki rekodnya pada ACC 2010 apabila dia memenangi dua perak dan dua gangsa.

Biarpun sudah kali ketiga menyertai SUKMA, pelumba itu tidak pernah memenangi pingat emas pada temasya terdahulu sehingga SUKMA Kuala Lumpur kali ini dia meraih pingat dalam semua acara individu disertainya.
Kehadiran bapanya, Som Net Lim pada perlumbaan di temasya itu membantunya memenangi empat emas menerusi acara scratch, pecut, kejar mengejar dan 500 meter ujian masa individu wanita sementara satu perak diperoleh daripada acara keirin.

Bakat ratu trek itu sebenarnya dilahirkan menerusi projek pencarian pelumba berketurunan Siam di Perlis pada 2004 dengan Ju Pha adalah satu-satunya pelumba daripada 30 pelumba dalam projek itu yang kekal berkayuh dan bersinar.

Mempunyai darah campuran Siam dan Cina, Ju Pha yang menganut agama Budha menyambut beberapa perayaan dalam setahun.

“Keluarga saya menyambut Tahun Baru Cina, Krismas dan Pesta Air (Songkran) yang disambut bersempena tahun baru di Thailand namun saya selalunya ketinggalan menyambut perayaan ini kerana sibuk mengadakan latihan atau pun berada di luar negara menyertai kejohanan.

“Kadang-kadang rindu juga untuk meraikan perayaan bersama-sama namun buat masa ini saya perlu berkorban sedikit untuk menjadi pelumba hebat pada satu hari nanti,” katanya.

INFO

Nama: Ju Pha Som Net
Tarikh lahir: 26 April 1993
Asal: Chuping, Perlis
Tinggi: 1.60 meter
Berat: 53 kilogram
Adik beradik: Anak keempat daripada lima beradik
Hobi: Membeli belah dan mendengar muzik

Sunday, April 24, 2011

18 atlet wakili Johor ke Karnival Pelapis Negeri

JOHOR BAHRU - Seramai 30 orang atlet menyertai kem latihan di bawah Program Pelapis Sukan Tinju Johor dengan 18 daripadanya akan dipilih mewakili Johor ke Karnival Pelapis Negeri.

Pegawai Pembangunan Sukan Tinju Zahari Zahar Yusof berkata, tujuan utama kem latihan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat baru dalam sukan tinju di Johor dan kebanyakan yang telah menyertai kem latihan ini adalah dalam kalangan mereka yang baru dalam menceburi sukan ini.

Menurutnya, kem latihan ini juga adalah pemilihan atlet sukan tinju fasa pertama dalam melayakkan diri ke fasa kedua untuk ke Karnival Pelapis Negeri anjuran Majlis Sukan Negeri yang akan diadakan di Kota Bahru, Kelantan pada Mei ini.

“Walaupun Johor sebelum ini dikenali sebagai salah sebuah negeri yang melahirkan ramai atlet terbaik negara, kini Johor seperti ketandusan atlet yang benar-benar berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dalam sukan tinju ini.

“Hal ini berkemungkinan sukan tinju kurang menarik minat remaja kerana sukan ini memerlukan daya ketahanan yang tinggi kerana ia sukan yang lasak," katanya.

Menurutnya, dua orang jurulatih yang dilantik secara sambilan bagi mengendalikan latihan iaitu Azmee Abdul Rahman dan Mohd Farid Abdul Rahman, kedua-dua mereka ini adalah bekas peninju yang pernah mengharumkan nama negeri Johor.

Zahari berkata, atlet yang terpilih akan menjalani latihan pusat yang akan diadakan pada 9 Mei hingga 11 Mei 2011 di Pusat Latihan Tinju Kebangsaan Stadium Larkin.

Katanya, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan pada karnival tersebut iaitu kategori 14 hingga 16 tahun dan kategori 17 hingga 20 tahun.

Saturday, April 23, 2011

Program Pelapis Negeri Johor

JOHOR BAHRU - Sejajar dengan hasrat meningkatkan prestasi jurulatih Program Pelapis Negeri Johor, pelbagai seminar kejurulatihan dianjurkan melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), dan Pusat Satelit Johor.

Selain itu, seminar berkenaan turut mendapat kerjasama dari pihak luar seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) terutamanya dari segi penyertaan dan modul yang dijalankan sepanjang program.

Ketua Unit Sukan Berprestasi Tinggi (USPTN) Negeri Johor, Hafiszal Tukemin berkata, antara seminar yang dijalankan sepanjang tahun ini, ialah Seminar Sains Sukan dan Program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan (CCE).

“Seminar Sains Sukan yang berlangsung pada Julai lepas, merupakan program anjuran bersama MSNJ, ISN dan UTM, manakala program Pendidikan Kejurulatihan Berterusan pada Jun lepas merupakan program anjuran MSN,” katanya.

Beliau berkata, seminar berkenaan merupakan program yang dijalankan pada setiap tahun bertujuan memberikan pendedahan mengenai perkembangan terbaru dalam dunia sukan bagi memantapkan lagi latihan yang diberikan kepada atlet pelapis.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada semua jurulatih dan semua penggiat sukan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai bidang kejurulatihan”, katanya.

Beliau memberitahu, bagi program pelapis negeri, seramai 40 orang jurulatih bertanggungjawab melatih atlet dalam 16 acara sukan dan kebanyakannya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang sukan.

“Di bawah USPTN, kita mempunyai jurulatih secara sambilan, sepenuh masa dan dari luar negara seperti Indonesia dan Bulgaria bagi acara sukan lawan pedang dan angkat berat,” katanya.

Secara keseluruhannya, seminar yang diadakan ini lebih menekankan kepada pendidikan dalam sukan seperti pemakanan, diet, fisioterapi dan latihan-latihan asas dalam sukan.

Sambutan yang diterima daripada program berkenaan sangat baik serta terbukti dengan jumlah penyertaan yang diterima mencatatkan angka yang tinggi ditambah lagi dengan penyertaan dari pelajar UTHM.

“Program anjuran bersama di antara Pusat Satelit Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor serta UTM telah diadakan di Dewan Gemilang MSN Johor pada 29 Julai 2010 yang lalu telah dihadiri oleh peserta yang terdiri dari jurulatih MSN, MSNJ dan UTHM,” katanya.

Beliau berkata, program yang dikendalikan di bawah unit kejurulatihan MSN ini, amat berguna bagi meningkatkan lagi prestasi jurulatih terutamanya dalam mendedahkan perkembangan terbaru dunia sukan.

http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8191385.asp