• YOG 2014YOG 2014
 1 / 1 
BERBEZA dengan temasya sukan lain, tiada kutipan pingat secara rasmi dikira bagi mengukur prestasi kontinjen negara yang mengambil bahagian pada temasya edisi kedua Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014).
  
Ketua kontinjen negara, Wong Pei Tty berkata penganjur tidak menyediakan carta kutipan pingat bagi negara yang bertanding sebaliknya hanya memberitahu pingat harian yang dimenangi oleh atlet mengikut jenis sukan.
  
"Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan atlet berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, malam ini.
  
Pei Tty berkata bagi dirinya pingat emas yang diraih oleh pemain badminton negara, Cheam June Wei menerusi acara beregu campuran antarabangsa tetap dikira sebagai pingat emas pertama Malaysia.
  
"Walaupun ia merupakan acara campuran, June Wei masih berjuang di gelanggang untuk merangkul pingat emas ini....ini adalah pencapaiannya," katanya.

Kejayaan June Wei itu menimbulkan tanda tanya media Malaysia apabila lagu Negaraku tidak berkemundang dan Jalur Gemilang tidak dinaikkan semasa acara penyampaian pingat hari ini.
  
June Wei yang berganding dengan pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau mengalahkan gandingan Tsuneyama Kanta (Jepun)/Lee Chia Hsin (Taiwan) dalam straight set 21-14 dan 23-21 pada aksi final.