Monday, August 18, 2014

YOG 2014: Masih Belum Kelihatan Kelibat Pingat Bagi Acara Renang

YOG 2014: Masih Belum Kelihatan Kelibat Pingat Bagi Acara Renang

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid

NANJING, 18 Ogos (Bernama) -- Skuad renang negara masih gagal menyumbang sebarang pingat pada hari kedua temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua yang berlangsung di Pusat Olimpik Natatorium Nanjing hari ini.

Perenang negara Lim Ching Hwang yang beraksi dalam acara 200m gaya bebas individu lelaki hanya sekadar menduduki tempat ke-10 secara keseluruhan dengan catatan masa 1:51.49s.

Seorang lagi perenang negara yang beraksi dalam acara yang sama, Welson Sim Wee Sheng terpaksa berpuas hati di tempat ke-13 dengan catatan masa 1:51.99s, sekali gus memperbaiki catatan masa peribadi terbaiknya tahun ini.

Welson berkata walaupun kecewa kerana gagal mara ke pertandingan akhir, namun beliau tetap berpuas hati dapat mengatasi rekod peribadi terbaiknya itu.

"Hari ini lebih baik daripada semalam, namun ianya belum cukup bagi saya dan saya akan cuba berusaha dengan lebih gigih lagi," katanya kepada Bernama.

Esok pada hari ketiga temasya, kem renang negara sekali lagi bakal diuji apabila Yap Siew Hui beraksi dalam acara 50m kuak kupu-kupu individu wanita dan Lim Ching Hwang dalam acara 50m gaya bebas individu lelaki.

Skuad renang pelapis negara yang dipimpin jurulatih Ho Chiah Lianh sebelum ini tidak meletakan sebarang sasaran pingat namun optimis bahawa perenang negara tidak pulang dengan tangan kosong dan mampu mengatasi rekod peribadi terbaik masing-masing.

Majlis Sukan Negara (MSN) turut meluahkan nada yang sama dengan alasan YOG 2014 merupakan kejohanan kompetatif dan bertahap tinggi.

No comments:

Post a Comment