Wednesday, August 20, 2014

Olimpik Remaja: Badminton nyala harapan pingat individu, beregu campuran

NANJING: Skuad badminton negara cemerlang pada hari ketiga temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014), semalam selepas pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei layak ke saingan suku akhir selepas mengalahkan lawan dari Turki, Muhammed Ali Kurt 21-14 dan 21-6 pada perlawanan penutup tirai peringkat Kumpulan C.
June Wei juga layak ke suku akhir beregu campuran apabila bergandingan dengan pemain Hong Kong, Tsz Yau Ng dengan mengalahkan pasangan beregu campuran Lim Guipu (China) dan Kim Gaeun (Korea Selatan) 22-20 dan 21-19.
Lee Ying Ying yang gagal ke suku akhir perseorangan wanita pada aksi sebelah pagi, menebus kegagalan itu apabila mara ke pusingan suku akhir beregu campuran bersama pasangannya, Chia Hung Lu dari Taiwan selepas mengalahkan pasangan Garrido Esquvellr (Mexico) dan Kuuba Kristin (Estonia) 21-17 dan 21-18.
Sementara itu, kem renang negara terus gagal memenangi sebarang pingat apabila perenang pelapis negara Yap Siew Hui hanya menduduki tangga ketujuh pusingan awal bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan masa 28.50 di Pusat Olimpik Natatorium Nanjing.
Lim Ching Hwang yang beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki pula hanya menduduki tempat kelapan selepas menamatkan saringan dengan catatan masa 24.26s manakala Angela Cheng Chui Pei yang beraksi dalam acara 800m bebas wanita menduduki tempat ketujuh dengan catatan 9:00.61s.
Atlet golf remaja lelaki negara, Low Khai Jie yang memulakan cabaran pusingan pertama hari ini, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-15 manakala Kelly Kah Kah Yan yang beraksi dalam acara individu wanita mendapat keputusan tercorot.
Tumpuan kontinjen negara hari ini ialah kepada acara badminton apabila beregu campuran negara pertama, June Wei berdepan rakan senegara Ying Ying pada suku akhir. Acara taekwondo dan olahraga juga akan membuka tirainya, hari ini.
Sementara itu, kontinjen China terus mengungguli hari ketiga temasya selepas mengumpul lima pingat emas, satu pingat perak dan lima pingat gangsa, semalam.
Russia menjadi pencabar utama pasukan tuan rumah itu apabila menduduki tempat kedua dengan kutipan empat emas, tiga perak dan tiga gangsa untuk mengatasi Hungary (4-0-2) manakala negara Asia Tenggara, Thailand masih bertahan di kelompok 10 terbaik selepas menduduki tangga kelapan, (2-1-0). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment