Sunday, August 10, 2014

Karate: Makaf puas hati pencapaian atlet pelapis

Karate: Makaf puas hati pencapaian atlet pelapis
August 10, 2014

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) berpuas hati dengan prestasi skuad pelapis kebangsaan yang meraih dua pingat emas untuk menamatkan cabaran di tangga keempat pada Kejohanan Karate Asia ke-14.
    
Presiden Makaf Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pencapaian Malaysia kali ini lebih baik berbanding tahun lepas yang menyaksikan negara hanya meraih sebutir emas.
   
Malaysia mengutip emas dalam acara Kata lelaki berpasukan kadet dan junior menerusi trio Howart Tan, Ivan Oh dan Ooi San Hong untuk menewaskan Kuwait hari ini.
   
Satu lagi emas diperoleh menerusi acara Kumite bawah 52kg lelaki kadet yang dimenangi Khavin Rajs semalam apabila mengalahkan Minami Yunosuke dari Jepun.
   
"Kita berharap dapat lahirkan lebih ramai juara sukan karate di peringkat kadet, junior dan bawah 21 tahun," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah dan penutup kejohanan itu di Stadium Badminton Cheras.

Iran muncul juara keseluruhan dengan 13 pingat emas, lima perak dan enam gangsa diikuti Jepun dengan sembilan emas, sembilan perak dan sembilan gangsa manakala Kazakhstan di tempat ketiga dengan dua emas, tiga perak dan sembilan gangsa.
   
Malaysia di tempat keempat dengan dua emas, tiga perak dan lapan gangsa.
   
Sementara itu, Jurulatih Skuad Pelapis Kebangsaan R. Puvaneswaran berharap atlet pelapis yang mempamer prestasi baik dapat diserap ke dalam kumpulan atlet elit.
   
Beliau berkata, pencapaian membanggakan anak buahnya hari ini, terutama Prem Kumar yang meraih pingat gangsa kategori bawah 68kg, membuka peluang kepada atlet muda itu untuk menyerlah di peringkat lebih tinggi.
   

"Peluang atlet kita adalah sangat cerah. Saya berharap mereka boleh diserapkan ke skuad elit dan terus menunjukkan prestasi yang membanggakan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment