NANJING: Kontinjen negara di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua meneruskan pemburuan pingat pada hari kesembilan temasya sukan remaja terbesar dunia itu.
Walaupun atlet pelapis negara berjaya mencapai sasaran tiga pingat tanpa mengira warna pingat seperti yang disasarkan Ketua kontinjen negara YOG 2014, Wong Pei Tty sebelum ini, pemburuan bagi memperoleh pingat bonus tetap diteruskan atlet negara yang beraksi, hari ini.
Wong melahirkan rasa puas hati di atas kesungguhan yang ditunjukkan semua atlet pelapis negara walaupun ada dalam kalangan mereka belum pernah mengikuti kejohanan bertaraf dunia.
"Saya kagum dengan semangat mereka dan semua atlet bekerja keras sepanjang berlangsungnya YOG 2014 sejak dari hari pertama kejohanan," katanya kepada BERNAMA, hari ini.
Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada kontinjen negara di YOG 2014 kerana beranggapan bahawa temasya empat tahun sekali itu adalah medan pendedahan awal buat atlet baharu pada pertandingan bertaraf antarabangsa sebelum mengalas cabaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pemanah pelapis negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli melengkapkan sasaran tiga pingat tanpa mengira warna di YOG 2014 selepas menghadiahkan sebutir pingat perak menerusi acara recurve campuran antarabangsa yang berlangsung di Lapangan Memanah Fangshan, semalam.
Pingat emas pertama negara sebelum ini disumbangkan pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa manakala pingat perak oleh penerjun pelapis wanita negara, Loh Zhiayi dalam acara 10 meter platform individu.
Kejayaan itu sekali gus mengatasi pencapaian kontinjen negara pada edisi pertama YOG di Singapura empat tahun lalu, apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng membawa pulang dua pingat perak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment