Nanjing, China: Dengan barisan atlet terhebat dunia beraksi pada temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) kali kedua, ia tidak mematahkan semangat atlet lompat kijang pelapis negara, R Kirthana untuk berusaha membawa pulang pingat dan mengelak daripada 'bungkus awal'.
Kirthana yang akan memulakan aksi peringkat awal di stadium utama, Pusat Sukan Olimpik Nanjing, Jumaat ini berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran itu dan akan berusaha keras bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir terlebih dulu.
“Jika sudah layak ke suku akhir maka baru ada peluang untuk ke separuh akhir dan seterusnya meraih pingat,” katanya semalam.
Pemenang pingat emas dengan catatan lompatan sejauh 13.06m pada Kejohanan Olahraga Kelayakan Asia di Thammasat, Thailand, Mei lalu berkata, dia tidak berani meletakkan sasaran lebih tinggi daripada mara ke suku akhir kerana bimbang tidak mencapai sasaran itu.
“Catatan peribadi terbaik saya 13.06m dan berharap mampu memperbaiki lompatan sama ada 13.08m atau 13.10m Jumaat ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment