Tuesday, August 26, 2014

Kirthana telan kepahitan

KIRTHANA menamatkan saingan dalam acara lompat kijang di tempat kelima pada Sukan Olimpik Remaja di Nanjing semalam.


NANJING - Atlet lompat kijang pelapis wanita negara, R. Kirthana yang beraksi pada pusingan akhir kategori A acara itu pada Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) semalam meluahkan rasa kecewa kerana gagal menyumbang pingat untuk skuad olahraga negara.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Kirth' menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan sejauh 12.64 meter (m) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Nanjing.
Pingat emas acara tersebut menjadi milik Yanis Esmeraida David dari Perancis dengan lompatan sejauh 13.33m.
Pingat perak dimenangi wakil Australia, Tay Leiha Clark (13.06m) dan pingat gangsa milik Eszter Bajnok (13.01m) dari Hungary.
"Saya rasa terkilan kerana gagal mempersembahkan aksi terbaik hari ini (semalam) apabila hilang fokus ketika membuat lompatan.
"Semua tidak menjadi apabila saya banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
"Saya ingin memohon maaf kepada jurulatih, keluarga, rakan-rakan dan semua rakyat Malaysia kerana gagal menambah koleksi pingat untuk Malaysia," katanya.
Beliau yang menjadi wakil tunggal negara Asia Tenggara yang layak ke final kategori A bagi acara tersebut, berkata sepatutnya sebutir pingat mampu diraihnya namun keadaan tidak menyebelahinya.
Kirthana sebelum ini dilihat mempunyai potensi besar untuk menyumbangkan pingat gangsa bagi acara penutup tirai skuad olahraga pelapis negara semalam.
Atlet itu yang masih menderita kesakitan akibat kecederaan pada bahagian kaki kiri, berkata beliau turut rasa terkilan kerana gagal membaiki catatan rekod terbaik peribadinya 13.06m pada Kejohanan Olahraga Asia di Thamssat, Thailand, Mei lepas.
Namun pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu seharusnya mendapat pujian kerana bukan mudah untuk layak ke pusingan akhir kategori A, lebih-lebih lagi dalam acara olahraga.

No comments:

Post a Comment