Friday, August 15, 2014

Atlet negara tidak abai pelajaran

Atlet negara tidak abai pelajaran


RIZZUA (kanan) Norshafiee membuat ulangkaji pelajaran ketika menyertai YOG 2014 di Nanjing, China semalam.

NANJING - Atlet pelapis negara yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini tidak mengabaikan pelajaran masing-masing walaupun sibuk melakukan persiapan akhir bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2014.
Atlet lompat tinggi, Norshafiee Mohd. Shah berkata, dia tidak pernah ponteng untuk mengulang kaji pelajaran walaupun sibuk kerana baginya pelajaran dan tanggungjawab sebagai atlet adalah sama penting.
"Kalau ada kejohanan luar saya dan rakan-rakan akan tetap mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan sama ada sebelum atau selepas latihan.
"Apa yang penting adalah pengurusan masa agar pelajaran dan sukan dapat bergerak seiringan," kata pelajar tingkatan lima dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu.
Turut sama meluahkan masa bagi mengulang kaji pelajaran bersama-sama atlet lain ialah atlet olahraga, Mohd. Rizzua Haizad yang tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.
"Pada mulanya agak sukar untuk membahagikan masa antara belajar dan bersukan, namun setelah lama bergelar atlet pelapis, saya mampu membahagikan masa," jelasnya yang turut menuntut di SSBJ.
Sementara itu, gimnas pelapis, Olivia Tai Qing Tong berkata, temasya YOG 2014 adalah satu cabaran bagi dirinya untuk menghadapi Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang tinggal hanya beberapa bulan lagi.
Pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas itu berkata, dia tetap membawa buku ketika menjalani latihan.
"Apabila ada masa terluang saya akan guna masa tersebut untuk mengulang kaji pelajaran dan ia bukan sesuatu yang membebankan diri saya kerana sudah biasa dengan keadaan ini," katanya.
Olivia berkata, dia akan kembali memberi tumpuan kepada pelajaran setelah tamat kejohanan nanti dan akan cuba mengejar mata pelajaran yang tertinggal.
"YOG 2014 membakar semangatnya untuk berjaya dalam peperiksaan PT3 nanti," jelasnya.

No comments:

Post a Comment