Monday, August 18, 2014

Dua perseorangan kita ke pusingan kedua


NANJING - Wakil badminton negara Cheam June Wei membuka kempen temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pembukaan perseorangan lelaki peringkat kumpulan di Gimnasium Institut Sukan, dekat sini semalam.

Diletakkan sebagai pilihan ke-3/4, June Wei hanya mengambil masa 27 minit untuk mengalahkan pemain Nepal, Dipesh Dhami 21-13, 21-11 dalam saingan Kumpulan C.

Selepas kemenangan mudah itu, June Wei berkata, dia mahu mengekalkan rentak permainan dalam baki dua lagi perlawanan kumpulan sebelum mengintai slot suku akhir.

"Kalau boleh saya ingin terus menang pada perlawanan berikutnya," katanya kepada pemberita selepas pertarungan tersebut.

June Wei akan berdepan dengan pemain Thailand, Mek Narongrit hari ini sebelum melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang pemain Turki, Muhammed Ali Kurt esok.

Dalam acara wanita, Lee Ying Ying turut memulakan cabaran dengan aksi cemerlang apabila menundukkan pemain Austria, Janine Lais 21-13, 21-6 dalam masa 22 minit.

Ying Ying, 17, berkata, dia agak terkilan kerana banyak membuat kesilapan pada set pertama sebelum tetapi dapat menguasai perlawanan pada set kedua.

"Saya akan cuba membaiki kesilapan ini agar mampu mempersembahkan aksi tidak mengecewakan esok (hari ini)," katanya.

Dia akan menentang pemain Slovenia, Katarina Beton hari ini sebelum melengkapkan jadual Kumpulan H dengan menentang pemain pilihan kedua, Bing Jiao He dari China esok.
Dalam acara perseorangan, sebanyak 32 pemain, masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita, dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap juara kumpulan layak ke suku akhir.

 -UTUSAN

No comments:

Post a Comment