Friday, August 15, 2014

YOG landasan intai Olimpik 2016

YOG landasan intai Olimpik 2016

Nanjing: Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2014 yang membuka tirai Isnin ini menyediakan pentas terbaik buat atlet pelapis mencari tapak mewakili negara ke Sukan Olimpik Brazil pada 2016.
Walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran, ini tidak bermakna kontinjen negara seramai 41 atlet dan pegawai boleh mengambil mudah atau pulang dengan tangan kosong.
Ketua kontinjen negara Wong Pei Tty mengingatkan atlet muda negara berusaha bersungguh-sungguh membuktikan kemampuan masing-masing jika mereka ingin pergi lebih jauh di peringkat Sukan Olimpik.
Beliau optimis ada beberapa atlet pelapis daripada sukan badminton dan terjun mempunyai potensi menyumbang pingat kerana kebanyakan mereka pernah beraksi di kejohanan bertaraf dunia seperti kejohanan kelayakan YOG sebelum ini.
“Bukan sesuatu yang mustahil untuk kita bawa pulang pingat dan saya ingatkan atlet tidak mudah mengalah walaupun terpaksa berdepan lawan kuat kerana sepatutnya tiada istilah ‘tewas’ sebelum tamat perlawanan.
“Mereka (atlet) bukan ke sini untuk ‘makan angin’ sebaliknya menimba pengalaman berguna bagi melengkapkan diri masing-masing selaras dengan usaha negara melahirkan lebih ramai atlet muda agar Malaysia tidak ketandusan jaguh sukan baik pada masa sekarang mahupun masa depan,” katanya.
Malaysia sebelum ini pernah menghantar 13 atlet pelapis beraksi dalam enam acara sukan pada edisi pertama YOG di Singapura empat tahun lalu dan membawa pulang dua pingat perak menerusi ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment