LOH Zhiayi
NANJING - Loh Zhiayi seakan tidak percaya apabila berjaya menyumbang sebutir lagi pingat buat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2014, semalam.
Penerjun cilik itu meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita selepas mengumpul 446.70 mata, hanya 12.4 mata dipisahkan di belakang pemenang pingat perak, Krasnoshlyk Ganna dari Ukraine yang mengumpul 459.10 mata.
Seperti diduga, emas menjadi milik penerjun China, Wu Shengping dengan catatan 492.05 mata untuk mengatasi 11 penerjun lain.
Pada Sabtu, Zhiayi menyumbang pingat perak dalam acara 10m platform individu wanita.
"Semua penerjun lain bermula dengan lebih baik, namun mereka mula melakukan kesilapan pada pusingan akhir dan membuka peluang untuk saya membaiki kedudukan.
"Saya rebut dan guna sebaik mungkin peluang tersebut sehingga berjaya meletakkan diri di tempat ketiga terbaik," katanya.
Zhiayi berkata, dia tidak pernah terfikir dapat meraih pingat kedua peribadiny, namun berasa gembira kerana dapat menyumbang sesuatu kepada negara.
Penerjun berusia 16 tahun itu berkata, dia tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat untuk acara berpasukan antarabangsa yang berlangsung esok.
"Saya tidak boleh cakap lagi...sebab tidak tahu akan berganding dengan penerjun dari negara mana, kalau digandingkan dengan penerjun dari negara hebat maka peluang untuk meraih pingat adalah lebih cerah," katanya.
Zhiayi berkata, dia sangat gembira dengan kejayaannya dan berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memberi peluang kepadanya untuk beraksi pada YOG 2014 walaupun pada awalnya gagal melepasi kelayakan ke temasya sukan remaja terbesar dunia itu.
Dia layak ke YOG 2014 selepas memperoleh kedudukan ke-10 terbaik pada Kejohanan Kelayakan YOG di Mexico Mac lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment