Toi ceria raih gangsa, tebus kecewa
Oleh Ferzalfie Fauzi
Kuala Lumpur: Kekecewaan dibatalkan penyertaan dalam perlumbaan keirin sebelum ini berjaya ditebus Muhammad Firdaus Mohd Zonis apabila dia meraih pingat gangsa acara 1 kilometer ujian masa semalam pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Seoul semalam.
Firdaus yang meraih tiga pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asia di Astana Mei lalu, mencatat masa 1:04.161 saat untuk menjadi pelumba kedua memenangi pingat pada kejohanan itu selepas Adiq Husainie Othman di Moscow 2009 dalam acara scratch.
Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran ‘Toi’ itu dibatalkan penyertaannya dalam acara keirin kelmarin walaupun menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat apabila komisar mendapati dia melanggar peraturan perlumbaan.
“Saya masih belum berpuas hati walaupun sudah memenangi pingat gangsa, saya mahu meraih emas dalam perlumbaan pecut esok (hari ini),” kata pelumba berusia 18 tahun itu.
Emas dalam perlumbaan semalam dimenangi Jiri Janosek dari Republik Czech dengan catatan masa 1:02.558s manakala perak diraih pelumba Russia, Alexey Nosov (1:04.005s).
“Bagaimanapun, saya mempunyai misi dan niat yang tersimpan dalam hati atas kejayaan di sini iaitu ingin membantu ibu saya (Zanariah Basir).
“Saya memasang impian untuk membelikannya sebuah kereta selepas memperoleh imbuhan kerana kemenangan iniserta kejayaan di masa akan datang,” kata pelumba kelahiran Kuala Selangor itu.
Firdaus dijangka akan meraih Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR) sebanyak RM10,000 berikutan pingat gangsa yang dimenanginya itu.
Jumlah itu mampu ditambah lagi jika dia beraksi cemerlang dalam acara pecut hari ini.
No comments:
Post a Comment