• Zolkples Embong Zolkples Embong
 1 / 1 
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlet pelapis yang beraksi pada Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua.
  
Pasukan negara sehingga hari ini berjaya mengumpul satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
  
MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum ini tidak meletakkan sabarang sasaran pingat kepada kontinjen negara kerana menyifatkan temasya sukan remaja terbesar dunia itu sebagai kejohanan yang bertaraf tinggi.
  
Mengikut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami karier masa depan seseorang atlet
  
Zolkples berkata, beliau bangga dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet pelapis negara dalam temasya empat tahun sekali itu, walaupun ada antara mereka membuat penampilan kali pertama pada kejohanan bertaraf dunia.
  
"Kejayaan ini dapat dijadikan sebangai penanda aras bagi mengukur sejauh mana tahap pencapaian program pelapis negara yang dikendalikan oleh MSN bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu berdaya saing serta mempunyai kemampuan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi wartawan Bernama dari Nanjing, China hari ini.

Beliau berkata, YOG 2014 adalah medan pendedahan terbaik untuk atlet pelapis negara agar mereka lebih bersedia untuk menggalas cabaran selepas ini.
  
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, penghantaran atlet pelapis negara ke Nanjing bukanlah satu pembaziran kerana atlet baharu perlu mendapat pendedahan dalam kejohanan peringkat antarabangsa terlebih dahulu sebelum bagi mencari kematangan sebelum layak untuk menggalas cabaran yang lebih besar apabila berpeluang beraksi dengan atlet handalan dunia," katanya.
  
Zolkples berkata, kontinjen negara pada YOG 2014 berjaya membuktikan kemampuan sebenar mereka hari ini dan beliau berharap ia dapat dijadikan contoh dan pembakar semangat atlet lain.
  
"Saya selalu berpesan kepada atlet agar tidak takut atau mudah putus asa apabila berhadapan dengan lawan yang lebih kuat sebaliknya berazam untuk mengatasi mereka sebelum tamat perlawanan," katanya.
  
Pingat emas pertama negara pada cabaran YOG 2014 disumbangkan oleh pemain badminton remaja negara, Cheam June Wei dalam acara beregu campuran antarabangsa.
    
Dua pingat perak Malaysia masing-masing diraih oleh penerjun pelapis wanita negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu dan pemanah pelapis negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli menerusi acara recurve campuran antarabangsa.
  
Pingat gangsa negara pula disumbangkan oleh penerjun remaja Loh Zhiayi menerusi acara 3m papan anjal individu wanita semalam.
  
Kejayaan itu sekaligus mengatasi pencapaian kontinjen Malaysia pada YOG edisi pertama, 2010 yang berlangsung di Singapura apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng membawa pulang dua pingat perak.  - Bernama