Sunday, April 24, 2011

18 atlet wakili Johor ke Karnival Pelapis Negeri

JOHOR BAHRU - Seramai 30 orang atlet menyertai kem latihan di bawah Program Pelapis Sukan Tinju Johor dengan 18 daripadanya akan dipilih mewakili Johor ke Karnival Pelapis Negeri.

Pegawai Pembangunan Sukan Tinju Zahari Zahar Yusof berkata, tujuan utama kem latihan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat baru dalam sukan tinju di Johor dan kebanyakan yang telah menyertai kem latihan ini adalah dalam kalangan mereka yang baru dalam menceburi sukan ini.

Menurutnya, kem latihan ini juga adalah pemilihan atlet sukan tinju fasa pertama dalam melayakkan diri ke fasa kedua untuk ke Karnival Pelapis Negeri anjuran Majlis Sukan Negeri yang akan diadakan di Kota Bahru, Kelantan pada Mei ini.

“Walaupun Johor sebelum ini dikenali sebagai salah sebuah negeri yang melahirkan ramai atlet terbaik negara, kini Johor seperti ketandusan atlet yang benar-benar berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dalam sukan tinju ini.

“Hal ini berkemungkinan sukan tinju kurang menarik minat remaja kerana sukan ini memerlukan daya ketahanan yang tinggi kerana ia sukan yang lasak," katanya.

Menurutnya, dua orang jurulatih yang dilantik secara sambilan bagi mengendalikan latihan iaitu Azmee Abdul Rahman dan Mohd Farid Abdul Rahman, kedua-dua mereka ini adalah bekas peninju yang pernah mengharumkan nama negeri Johor.

Zahari berkata, atlet yang terpilih akan menjalani latihan pusat yang akan diadakan pada 9 Mei hingga 11 Mei 2011 di Pusat Latihan Tinju Kebangsaan Stadium Larkin.

Katanya, sebanyak dua kategori akan dipertandingkan pada karnival tersebut iaitu kategori 14 hingga 16 tahun dan kategori 17 hingga 20 tahun.

No comments:

Post a Comment