Friday, April 22, 2011

Pelumba remaja ke Itali

ARKIB : 30/06/2010

KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) memilih dua pelumba muda skuad pelapis untuk menyertai Kejohanan Lumba Basikal Remaja Dunia di Montichiari, Itali, Ogos ini.

Pengurus skuad pelapis kebangsaan, Azrain Mohamed Yusof berkata, Mohd. Arfy Qhairant Amran dan Mohd. Fattah Amri Zaid dipilih berdasarkan kejayaan cemerlang mereka sepanjang tahun ini.

"Kejohanan ini merupakan pendedahan buat pelumba muda negara kerana mereka memerlukan lebih banyak kejohanan antarabangsa sebelum layak bergelar atlet elit," kata Azrain.

Katanya lagi, memandangkan ini adalah pendedahan awal buat Arfy dan Fattah, MSN tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada mereka, namun jika berjaya membawa pulang pingat ia adalah satu bonus.

"Ini bukanlah penampilan pertama mereka ke kejohanan luar negara, saya fikir mereka tidak akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti," katanya lagi.

Malah, Azrain juga yakin, Arfy dan Fattah tidak akan menghadapi masalah besar beraksi pada bulan Ramadan kerana MSN akan berkerjasama dengan Insitut Sukan Negara (ISN) dalam memilih pemakanan yang sesuai untuk mereka.

"Keputusan MSN untuk menghantar Arfy dan Fattah dibuat berdasarkan persetujuan ketua jurulatih basikal kebangsaan, John Beasley," katanya.

Sementara itu Arfy berkata, dia gembira kerana diberi peluang beraksi pada kejohanan itu dan berazam untuk melakukan yang terbaik.

"Sebagai pelumba pelapis, masih banyak yang perlu saya pelajari sebelum mencapai tahap dunia.

"Namun, saya akan cuba memberi sepenuh perhatian kepada latihan persiapan selama lebih kurang dua bulan ini agar mampu buktikan sesuatu di Itali nanti," katanya.

Sebelum ini, MSN pernah menghantar dua pelumba remaja, Muhammad Zulhilmie Afif dan Adiq Husaini Muhd. Othman beraksi pada kejohanan yang sama di Moscow, Russia tahun lepas.

Adiq Husaini memenangi gangsa acara scratch 10 kilometer (30 pusingan) pada kejohanan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment