Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my
MESKIPUN kehilangan begitu ramai atlet selepas skuad pelapis elit dibubarkan bulan lalu, Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) terus berusaha melahirkan lebih ramai pelapis berwibawa menggalas cabaran mewakili negara satu hari nanti.
Sepanjang tiga hari bermula Jumaat ini, seramai 42 atlet remaja mempertaruhkan kehebatan pada sesi pemilihan bagi merebut 12 tiket pelapis remaja kebangsaan di Sunway Megalanes, Subang Jaya.
Pengarah Prestasi Tinggi MTBC, Cheah Ban Cheng berkata, kewujudan pelapis kebangsaan cukup penting meneruskan kesinambungan perjuangan atlet senior.
“Pemilihan perlu dibuat setiap tahun bagi memastikan tidak ketandusan bakat baru dan MTBC sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan hasrat itu berjaya.
“Sepanjang tahun lalu, boleh dikatakan mereka menampilkan prestasi dibanggakan dan dua daripadanya iaitu Syaidatul Afifah dari Perak dan Khoo Beng Khai dari Pulau Pinang pernah dicadangkan untuk diserap ke skuad pelapis elit,” katanya.
Selain Saidatul Afifah dan Beng Khai, lapan pemain yang berjaya menempatkan di podium dalam kejohanan sepanjang tahun lalu untuk kekal dalam skuad pelapis kebangsaan ialah Syimir Abdul Razak, Chung Jun Foo, Ahmad Muaz, Jonathan Chan, Hurul Ainul, Puteri Nadia, Fatin Azmira dan Radin Nurnajwa.
Dua bekas pelapis elit yang menyertai skuad pelapis kebangsaan ialah Aris Ardila dan Tengku Emanina Laily.
Kejohanan terbuka kepada atlet di bawah umur 21 tahun dan pernah menyertai Kejohanan Bowling Tertutup Kebangsaan 2011.
Sepanjang pemilihan itu mereka perlu bermain dalam lima blok membabitkan enam game setiap satu dengan pemain yang berjaya mengumpul mata paling rendah (satu mata bagi tempat pertama dan seterusnya) akan berada di ranking pertama.
No comments:
Post a Comment