ARKIB : 10/02/2010
KUALA LUMPUR - Lima atlet pelapis kebangsaan dari tiga jenis sukan, akan dinaik taraf ke skuad elit bagi menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang akan berlangsung hujung tahun ini.
Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, dua atlet pelapis skuad hoki lelaki, dan seorang gimnas lelaki, akan beraksi di Sukan Komanwel, sementara dua pelayar, seorang lelaki dan seorang wanita akan ke Sukan Asia.
"Nama mereka akan diumumkan kemudian.
''Sehingga kini, hanya lima atlet pelapis tersenarai.
"Ini kerana kedua-dua temasya tersebut menjanjikan persaingan yang lebih sengit dan atlet pelapis tersebut dipilih berdasarkan potensi mereka menyumbang pingat," katanya, semalam.
Pada Sukan SEA edisi ke-25 di Vientiane, Laos, Disember lepas, seramai 45 atlet pelapis adalah di antara 370 atlet dalam kontinjen Malaysia.
Sukan Komanwel di New Delhi, India akan berlangsung dari 3 hingga 4 Oktober, sementara Sukan Asia di Guangzhou, China dari 13 hingga 21 November, tahun ini.
Jefri berkata, daripada 45 pelapis ke Laos, seramai 17 atlet kini dinaik taraf menganggotai skuad elit kebangsaan.
Mereka ialah lima atlet skuad menembak, tenpin boling (lima), memanah (tiga), skuasy (dua), berbasikal (satu) dan boling padang (satu).
Jefri berkata, selain Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tumpuan Cawangan Pelapis tahun ini ialah Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka (10 hingga 19 Jun) dan temasya Olimpik Remaja di Singapura (14 hingga 26 Ogos).
Semua atlet pelapis kebangsaan dan negeri, katanya wajib menyertai Sukma dan jika gagal mendapat sebarang pingat, akan digugurkan daripada program Cawangan Pelapis.
Mengenai persiapan ke Sukan SEA di Indonesia pada tahun depan, Jefri berkata hanya atlet pelapis yang mendapat pingat emas dan perak pada edisi di Laos, akan ke temasya dwitahunan itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment