ARKIB : 02/01/2010
KUALA LIPIS – Empat kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Pelajaran, Pelancongan dan Pengajian Tinggi akan duduk semeja mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah menyediakan atlet pelapis negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, atlet pelapis adalah isu besar yang memerlukan penyelesaian secara khusus oleh kementerian terbabit.
Katanya, terdapat lompang yang begitu besar yang perlu diisi segera dalam proses melahirkan atlet muda untuk diketengahkan sehingga mampu bersaing di lapangan antarabangsa.
‘‘Kita sedar terdapat cabaran bagi menyediakan dan mengenal pasti bakat-bakat pelapis di peringkat kanak-kanak, terutamanya di kalangan murid sekolah rendah.
‘‘Ini kerana, kita tidak mempunyai guru yang khusus di peringkat tersebut untuk memberikan fokus melahirkan bakat muda yang berkualiti dan berwibawa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Belia Negeri Pahang Kali-20/2009 di sini, semalam.
Menurutnya, guru-guru sukan sekolah rendah dan menengah perlu diberikan program kejurulatihan sukan dan sains sukan.
Menerusi program seperti itu kata beliau, guru-guru berkenaan dapat menerapkan segala kemahiran dan latihan sukan yang betul kepada murid sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Katanya, walaupun ada sekolah sukan, ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan dan keperluan kerana setakat ini hanya ada dua buah sekolah seumpama itu, iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) di Johor.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat membina sekolah sukan di negeri masing-masing bagi membantu melahirkan bakat sukan yang mampu mengharumkan nama negara.
No comments:
Post a Comment