Laporan dan FOTO AZLAN HAFEEDZ
metahad@hmetro.com.my
"SAYA pernah digelar 'juara longkang' oleh rakan disebabkan bola balingan saya selalu masuk longkang," kata Mohamad Syazwan Hafiz Mohd Shuhaimi, 19, mengimbau kembali detik pertama kali bermain boling ketika berusia 15 tahun.
Namun kini Mohamad Syazwan bukan lagi 'juara longkang,' sebaliknya beliau antara 25 pemain muda yang kini digilap Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPT) Negeri Kelantan 2010 kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ke arah memartabatkan persada sukan boling di Malaysia.
"Abang saya yang juga bekas pemain boling Kelantan, Mohammad Syafiq Effendy, 21, banyak memberi dorongan kepada saya supaya tidak berputus asa ketika bermain boling.
"Saya seronok melihat cara dan teknik pemain kebangsaan, Zulmazran Zulkifli bermain kerana beliau ada 'gaya' tersendiri, menyebabkan saya bercita-cita menjadi jurulatih boling sepenuh masa kelak," katanya.
Sebelum ini ramai tidak berani menceburi boling selepas mengklasifikasikannya sebagai sukan elit walaupun pada hakikatnya ia mampu disertai semua orang tanpa mengira bangsa dan darjat.
Kini, sukan boling semakin mendapat tempat di kalangan penduduk negara ini apabila semakin banyak pusat boling didirikan di seluruh Malaysia, terutama di Lembah Klang.
Sukan itu tidak sukar dipelajari jika ada rakan atau jurulatih sudi mengajar teknik betul bermain boling.
Jika belajar secara bersendirian tanpa bantuan rakan lebih mahir, dikhuatiri pemain baru mudah jemu sebaik mendapati markah diperoleh rendah, selain bola dibaling sering memasuki longkang.
Sebab itu pemain baru perlu mengikut langkah bermain boling dengan cara betul sebelum berusaha menjatuhkan semua 10 pin yang terletak di hujung lorong di sepanjang 18.3 meter itu.
Setiap mereka mempunyai dua peluang menjatuhkan semua pin terbabit yang dipanggil 'frame' manakala kiraan markah pula bergantung kepada jumlah jatuhan berdasarkan tiga kategori iaitu 'strike', 'spare' atau 'open'.
Semua bola boling mempunyai ukur lilit 29.6 sentimeter. Ada pelbagai jenis jenama bola boling di pasaran dan kebanyakannya dibuat di Amerika Syarikat. Antara bola terkemuka di Malaysia ialah jenis Storm, Columbia, Brunswick, Ebonite, Track, AMF, Dyno Thane dan Morich.
Jenis bola pula biasanya diklasifikasikan mengikut material yang digunakan dalam pembuatan bola, antaranya plastik atau poliester yang mula diperkenalkan sejak 1960-an.
Jurulatih Tahap Dua, Mohd Zahimi Zainuddin, 53, berkata walaupun dianggap mahir, pelapis USPT sering diingatkan supaya sentiasa menguasai asas bermain boling kerana sedikit kesilapan langkah boleh mengakibatkan permainan merosot.
Menurutnya, sebelum latihan, dia bersama pembantu, Mohd Norzri Ab Wahab, 35, akan memberi kata-kata semangat kepada 25 pelapis USPT berusia 11 hingga 21 tahun bagi mengingatkan mereka supaya sentiasa berdisiplin dan mematuhi garis panduan MSN.
Katanya, berdasarkan garis panduan atau Latihan Dalam Kelas (LDK) itu, setiap pelatih diajar banyak perkara, antaranya sudut, kadar putaran bola, kelajuan serta jenis bola digunakan.
"Namun, empat elemen penting yang perlu dikuasai pelapis dikenali sebagai posisi sebelum membuat balingan, iaitu posisi melutut, imbangan, ambil satu langkah dan kemudian membuat lima langkah berturutan.
"Pelapis yang membuat balingan 'hook' turut diajar mengenai kedudukan ibu jari yang betul, selain mengenali jenis lorong sama ada kering, berminyak atau separuh berminyak," katanya.
Ketika ditanya mengenai pemilihan pemain pelapis itu, dia berkata, pihaknya mengadakan sesi pemilihan melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) setiap Disember.
Menurutnya, panel pemilihan pelapis USPT itu adalah dari MSN dan juga Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) seramai empat hingga lima orang.
"Latihan diadakan selama 10 bulan di Mutiara Bowl di sini sebanyak tiga kali seminggu sebelum menyertai pertandingan anjuran SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit membabitkan tujuh negeri.
"Jika mendapat jumlah mata tertinggi seperti ditetapkan MSN, mereka layak bertanding di Grand Prix Finals," katanya.
Pemain pelapis, Adam Rahimi, 13, berkata dia dan adiknya, Alif Muqri banyak mendapat galakan serta sokongan daripada ibu bapa, Hazmi Abd Hamid, 46, dan Normawati Mohd Din, 35, menyebabkan mereka berdua bersemangat menjadi pemain boling bertaraf profesional.
"Pertama kali bermain permainan ini saya jadi gugup kerana bola asyik terlepas, menyebabkan ayah menghadiahkan sebiji bola, menyebabkan saya semakin semangat untuk bermain.
"Minat saya turut dikongsi Alif Muqri apabila dia turut bermain dan berlatih bersama saya hinggalah kami berdua terpilih menyertai USPT," katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.
Mohd Syafiq Aiman, 15, pula berkata walaupun sibuk menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR), ayahnya, Saharudin Hussein banyak membantunya menyediakan jadual waktu pembelajaran dan kelas tambahan supaya dia tidak terlepas menyertai latihan itu.
Katanya, pada peringkat awal, dia lebih meminati futsal tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana kurang stamina selain mudah letih.
"Hasil dorongan keluarga, saya cuba bermain boling pula dan ternyata ia membuahkan hasil apabila berjaya memenangi beberapa pingat walaupun baru empat tahun menceburi sukan itu.
"Tidak dinafikan, ketika bertanding, peserta dari negeri lain ternyata hebat, namun hasil kekuatan semangat dan sokongan berterusan jurulatih, saya mampu mengatasinya," katanya yang meminati pemain boling Thailand, Yannaphon Larpapharat.
Nur Najwa Syuhada, 15, pula mengakui berbangga kerana berjaya memperoleh pingat gangsa kategori wanita bawah 15 tahun ketika menyertai SportExcel-NSC-MILO-MTBC-Malaysian Junior Circuit di Kuala Lumpur, beberapa bulan lalu.
"Shazlin Zulkifli adalah idola saya dan menjadi harapan saya supaya mengikut jejak langkahnya hingga ke tahap profesional.
"Selain boling, saya mewakili sekolah dalam permainan hoki dan bola jaring kerana saya meminati kedua-dua sukan itu," katanya anak bongsu daripada dua beradik itu.
>Profil
NAMA: Adam Rahimi Hazmi
UMUR: 13 tahun
ASAL: Kelantan
PENDIDIKAN: Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan
HOBI: Membaca buku
CITA-CITA: Doktor
PENCAPAIAN: Pingat emas dan perak SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit (Kategori Lelaki Bawah 15 tahun) 2010, gangsa (Kejohanan Boling Tenpin MSSK 2010) dan perak berpasukan (Kejohanan Boling Tenpin MSSM 2010 di Melaka)
>Profil
NAMA: Alif Muqri Hazmi
UMUR: 11 tahun
ASAL: Kelantan
PENDIDIKAN: Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim 1, Kota Bharu, Kelantan
HOBI: Bermain Playstation
CITA-CITA: Pensyarah
PENCAPAIAN: Pingat emas, perak dan gangsa SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit (Kategori Lelaki Bawah 12 tahun) 2010, perak (Kejohanan Boling Tenpin MSSK 2010) dan gangsa beregu (Kejohanan Boling Tenpin MSSM 2010 di Melaka)
>Profil
NAMA: Mohd Syafiq Aiman Saharudin
UMUR: 15 tahun
ASAL: Kelantan
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, Kota Bharu, Kelantan
HOBI: Bermain futsal
CITA-CITA: Arkitek
PENCAPAIAN: Pingat gangsa GP Finals SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit (Kategori Lelaki Bawah 15 tahun) 2010, perak (Kejohanan Boling Tenpin MSSK 2010) dan perak berpasukan (Kejohanan Boling Tenpin MSSM 2010 di Melaka)
>Profil
NAMA: Mohamad Syazwan Hafiz Mohd Shuhaimi
UMUR: 19 tahun
ASAL: Kelantan
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
HOBI: Bermain futsal
CITA-CITA: Jurulatih profesional boling
PENCAPAIAN: Pingat gangsa SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit (Kategori Lelaki Terbuka) 2010 dan mewakili SUKMA XIII Melaka 2010
>Profil
NAMA: Nur Najwa Syuhada Muhamad Rusli
UMUR: 15 tahun
ASAL: Kelantan
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, Kota Bharu, Kelantan
HOBI: Bermain hoki dan melayari Internet
CITA-CITA: Doktor pakar
PENCAPAIAN: Pingat gangsa SportExcel-NSC-MILO-MTBC Malaysian Junior Circuit (Kategori Wanita Bawah 15 tahun) 2010, gangsa (Kejohanan Boling Tenpin MSSK 2010) dan mewakili SUKMA XIII Melaka 2010
No comments:
Post a Comment