04 Ogos, 2009 18:39 PM
PETALING JAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Penembak pelapis negeri Pahang, Mohd Norahimin Abdul Halim, mengetepikan cabaran penembak elit dan pelapis kebangsaan untuk mengungguli acara 50m Rifel 3 Posisi Lelaki pada hari terakhir acara menembak kejohanan Mini Olimpik di Lapang Sasar Subang pada Selasa.
Pelajar Sekolah Sungai Isap, Kuantan, itu bagaimanapun gagal menempah tiket ke Sukan SEA selepas membidik 1,147 mata, kurang tiga mata daripada had kelayakan.
Penembak pelapis kebangsaan, Mohd Zubair Muhamad pula meraih perak selepas mengumpul 1,139 mata manakala penembak elit Mohd Hadafi Jaafar mendapat gangsa dengan 1,135 mata.
Rekod kebangsaan bagi acara itu dipegang oleh Mohd Emran Zakaria yang mencatat 1,154 mata pada satu kejohanan di lapangan sasar yang sama pada 2002.
Mohd Norahimin, 16, yang mula menceburi sukan menembak tiga tahun lepas berkata emas hari ini merupakan kejayaan pertamanya bersaing di peringkat kebangsaan.
"Saya hanya penembak pelapis di peringkat negeri Pahang sementara saingan daripada penembak elit dan pelapis kebangsaan amat sengit.
Cuma kecewa kerana tertinggal tiga mata untuk layak ke Sukan SEA di Laos Disember ini," katanya.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Mejar Jasni Shaari berkata penembak yang gagal melepasi had kelayakan ke Sukan SEA masih mempunyai peluang berbuat demikian pada Kejohanan Menembak Trofi Tun Haniff yang akan diadakan di Melaka dari 15 hingga 18 Okt ini.
"Ada satu lagi kejohanan iaitu Kejohanan Menembak Kebangsaan yang akan diadakan di sini (Lapang Sasar Subang) dari 11 hingga 22 Nov depan tetapi tarikh itu terlalu hampir dengan Sukan SEA yang berlangsung dari 9-18 Dis.
"Mungkin sebelum Kejohanan Menembak Kebangsaan bermula, senarai terakhir penembak yang layak telah diserahkan kepada Laos," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment