Friday, April 22, 2011

Atlet pelapis ke Sukan SEA - MSN

ARKIB : 02/03/2011
KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) bercadang untuk menghantar atlet pelapis dan pembangunan untuk menyertai Sukan SEA Ke-26 di Indonesia dari 11 hingga 25 November ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata keputusan tersebut mungkin dibuat selepas pihak penganjur menolak rayuan Malaysia dan negara lain seperti Singapura dan Laos untuk menyenaraikan beberapa acara utama termasuk biliard dan snuker serta bola sepak wanita.

Beliau berkata, tindakan pengguguran beberapa acara yang menjadi kekuatan Malaysia menyebabkan negara kehilangan sandaran banyak pingat emas.

"Buat apa kita menghabiskan masa dan peruntukan kewangan yang besar untuk menghantar atlet elit sedangkan ia tidak mendatangkan faedah yang besar kepada mereka.

"Oleh yang demikian lebih baik jika kita hantar atlet pelapis dan pembangunan ke sana bagi tujuan pendedahan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan ke-40 penubuhan MSN di Bukit Jalil, semalam.

Beliau berkata, pihak penganjur tidak sepatutnya mementingkan diri dengan menyenaraikan acara yang boleh mereka kuasai dan menggugurkan acara wajib temasya tersebut.

"Penyertaan Sukan SEA hanya melibatkan jumlah negara yang kecil berbanding dengan kejohanan lain. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment