Friday, April 22, 2011

Pelapis mampu buat kejutan

ARKIB : 05/12/2009

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Wee Jeck Seng (tengah) bersama para pegawai dan atlet yang akan beraksi di Sukan Sea XXV, Laos melaungkan 'MALAYSIA BOLEH' ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen ke Laos di Hotel Palm Garden, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Ketika ini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada atlet elit yang akan beraksi di Sukan SEA Laos, bagaimanapun kemampuan atlet pelapis tidak harus diketepikan begitu sahaja.

Menurut Chef-de-Mission Malaysia (CDM) ke Sukan SEA XXV, Laos Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, kehadiran atlet pelapis bukan hanya sebagai pendedahan malah mereka mampu untuk melakar kejayaan.

"Mungkin mereka mampu melakukan kejutan di Laos, siapa sangka," katanya dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pada kontinjen negara di sini semalam.

Jelasnya, atlet pelapis mampu menyinar di Laos, sama seperti di Korat dua tahun lalu apabila ramai yang meraih pencapaian tertinggi di sana termasuk atlet lari berpagar Rayzamshah Wan Sofian.

"Walaupun mereka kali pertama beraksi di Sukan SEA tidak mustahil mereka mampu meraih pingat emas dan melakukan catatan peribadi terbaik.

"Kita mempunyai banyak kategori atlet yang akan beraksi di sana (Laos) termasuk atlet bertaraf dunia seperti Lee Chong Wei dan tidak lupa juga kepada atlet pelapis," katanya.

Kata Ramlan, pendedahan tetap menjadi objektif utama kepada atlet pelapis tetapi dalam masa yang sama mereka perlu menunjukkan pencapaian terbaik.

"Mereka layak berdasarkan merit, sudah tentu mereka akan beraksi cemerlang di sana, Sukan SEA merupakan kejohanan yang bertaraf dunia.

"Ada kalanya memang mudah untuk atlet meraih pingat emas di Sukan Komanwel tetapi tidak di Sukan SEA kerana lawan yang berbeza dan lebih kuat," katanya.

Seramai 40 atlet pelapis akan mengambil bahagian di Sukan SEA Laos, 18 dari mereka dalam kategori A manakala selebihnya kategori B.

"Ada yang menjadikan kejohanan ini sebagai persediaan untuk sukan lain seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan dan ada yang menganggap Sukan SEA sebagai sasaran utama untuk menyerlah.

"Walau apa pun mereka tetap akan mencuba yang terbaik untuk memulakan musim baru dengan catatan peribadi terbaik, saya harap mereka tidak menyerah kalah dan memberi persembahan 100 peratus," katanya.

Pada majlis tersebut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng Jalur Gemilang kepada Ramlan sebelum diberikan kepada pembawa bendera, Yeoh Ken Nee dari sukan terjun.

Ken Nee, 26, telah memenangi 10 pingat emas sepanjang beraksi di Sukan SEA sejak 2003

No comments:

Post a Comment