KANGAR, 17 Ogos (Bernama)
Pelumba pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Fakhrullah Alias mengungguli acara 110 kilometer lepas beramai-ramai pada sirkit ketiga Kejohanan Lumba Basikal Remaja di sini hari ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu membuat catatan masa dua jam 53 minit dan 46 saat untuk menyingkirkan pencabar terdekatnya yang juga pelumba pelapis MSN Yusrizal Yusof yang turut mencatat masa yang sama.
Bagaimanapun, kemenangan berpihak kepada Ahmad Fakhrullah apabila foto penamat menunjukkan tayar basikalnya terlebih dahulu mencecah garisan.
Pelumba Kuala Lumpur, Mohd Hafiz Mohd Zawawi menduduki tempat ketiga dengan masa 2:55.13s saat diikuti Marvin George (MSN) dan Mohd Fakhruddin Daud dari Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP).
Dalam acara 63.6 kilometer lepas beramai-ramai lelaki bawah 16 tahun, pelumba SSBP Mohd Arfy Qhairant Amran muncul juara dengan catatan masa 1:37.10s selepas mengatasi Terengganu Mohd Khairul Aziz Abdullah yang turut melakukan catatan masa yang sama.
Pelumba pelapis MSN Mohd Fattah Amri Zaid Mohd Zar menduduki tempat ketiga diikuti pelumba Putrajaya dan Terengganu Mohd Firdaus Suardi dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Sementara itu, bagi acara 63.6 kilometer lepas beramai-ramai perempuan bawah 16 tahun, pelumba Selangor, Nurul Shafinaz Mokhlas mucul juara selepas melakukan catatan 1:51.51s.
Tempat kedua disandang oleh pelumba pelapis MSN, Narrisa Sampong diikuti tempat ketiga oleh pelumba SSBP, Jupha Som Nek.
Kejohanan dua hari itu dianjurkan bersama oleh SportsExcel, MSN, Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment