Monday, April 25, 2011

180 Pelumba Basikal Bakal Beraksi Pada Terbuka Perlis

KANGAR, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak 180 pelumba akan beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis yang akan berlangsung selama tiga hari di sini bermula 28 Julai ini.

Setiausaha Persatuan Berbasikal Perlis (PBPs), Maniam Manikam berkata, selain pelumba tempatan, kejohanan itu akan turut menyaksikan aksi hebat para pelumba Laos, Vietnam, Indonesia, Australia, New Zealand, Bahrain, Iran, Amerika Syarikat dan Thailand.

"Kesemua para pelumba ini telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang statusnya setaraf dengan Le Tour de Langkawi," kata Maniam yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), kepada Bernama.

Kejohanan kali ke-19 ini yang dianjurkan bersama kerajaan negeri, PBPs dan PKBM turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI), katanya kepada Bernama pada hari Jumaat.

Namun Maniam berkata, kejohanan kali ini dikhususkan untuk pelumba lelaki sahaja berumur 19 tahun ke atas kerana Perlis baru sahaja menganjurkan Kejohanan Lumba Basikal Wanita Terbuka Perlis sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang ke-66, dari 18 hingga 20 Jun lalu.

Menurut beliau, selaras dengan kehendak UCI, perlumbaan akan diadakan sebanyak tiga peringkat iaitu peringkat pertama sejauh 195 kilometer (km), peringkat kedua 210 km dan peringkat ketiga 196 km bagi acara perseorangan lelaki dan berkumpulan lelaki.

"Setiap pelumba perlu menghabiskan peringkat pertama untuk melayakkan diri ke peringkat kedua dan mereka yang menamatkan peringkat kedua pula layak meneruskan cabaran ke peringkat ketiga," katanya.

Maniam berkata, penganjur tidak dapat mengundang pasukan dari semua negeri atau pasukan tempatan lain seperti tahun-tahun sebelum ini, kecuali Malaysia hanya layak diwakili oleh tiga kumpulan pasukan kebangsaan dan satu kumpulan pasukan Perlis berikutan UCI telah meletakkan status 2.2 bagi kejohanan itu.

Perlis meletakkan harapan kepada beberapa pelumba berpengalaman, antaranya dua pelumba pelapis kebangsaan yang kini sedang menjalani latihan di Bukit Jalil, iaitu Mahazir Baharom dan Apirat a/l Sompong, dua pelumba pelapis serantau yang kini menjalani latihan di Pulau Pinang iaitu Anas Osman dan Mohd Azri Jusoh serta seorang pelumba senior Zulfifi Mamat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment