23 Mei 2009
Empat rekod lebur
Fahme mencatat rekod baru MSSM dalam acara lompat bergalah lelaki semalam.
EDISI ke-51 Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang masuk hari ketiga semalam menyaksikan empat rekod kejohanan diperbaharui.
Rekod pertama dicipta pelari jarak pertengahan dari Kedah, Tan Wei Heng yang mencatat rekod baru dalam acara 800m lelaki kategori bawah 15 tahun.
Dia mencatatkan masa dua minit 00.68 saat bagi memadam rekod lama 2:01.08s milik atlet Selangor, James Rames yang dicatat pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.
"Saya berasa bangga dengan pencapaian yang saya catat hari ini. Sebelum ini saya memang menyasarkan untuk menang acara ini tetapi tidak sangka saya dapat memperbaharui rekod.
"Catatan terbaik saya dalam acara ini ialah 2:03.00s semasa mewakili daerah Sungai Petani pada Kejohanan Olahraga MSS Kedah pada April lepas," kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya, Sungai Petani itu.
Dalam acara 800m lelaki bawah 18 tahun, Nik Hafiz Nik Mohamad dari SMK Bukit Mertajam, Pulau Pinang memperbaharui rekod kejohanan apabila mencatat masa 1:53.66s, mengatasi rekod 1:56.22s catatan J. Thinagaren dari Pulau Pinang tahun lepas.
"Saya memang sasarkan untuk melakukan catatan masa 1:53.00s, saya bersyukur dapat melakukannya di sini. Catatan terbaik saya ialah 1:57.00s yang saya catat di Sukma (Sukan Malaysia) Terengganu tahun lepas," kata Nik Hafiz yang juga atlet program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN).
Selain acara balapan, acara padang turut mencipta dua rekod baru iaitu acara lompat bergalah lelaki terbuka yang diperbaharui oleh Mohd. Fahme Zamzam Mehamad, sekali gus menyumbang pingat emas pertama kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Labuan.
Fahme melakukan lompatan setinggi 4.56 meter mengatasi rekod Mohd. Hafizzuddin Shaadan dari Pahang pada edisi 2006 di Pulau Pinang.
Jacky Wong Siew Cheer dari Sarawak pula berjaya memperbaharui rekod acara baling tukul besi terbuka lelaki yang dipegangnya sendiri semasa kejohanan yang sama di Stadium Majlis Bandaraya Kelana Jaya tahun lepas.
Jacky melakukan lontaran sejauh 54.82m mengatasi catatan 49.29m sebelum ini.
Pada hari terakhir kejohanan hari ini, 22 pingat emas menjadi taruhan dan turut dipertandingkan lapan acara untuk pelajar sekolah pendidikan khas.
No comments:
Post a Comment