Friday, April 22, 2011

MSN gilap bakat muda

Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my

BERBEKAL pencapaian memuaskan graduan pelapis kebangsaan di Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou, Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), kini membuka lembaran baru melahirkan lebih ramai atlet yang mampu diketengahkan ke kedua-dua temasya sukan berkenaan dan juga Sukan Olimpik.

Jelas pengarah cawangan itu, Jefri Ngadirin untuk fasa baru ini, jangka masa program membabitkan tempoh sehingga lapan tahun mencari dan membangunkan lebih ramai bakat muda untuk menggantikan atlet sedia ada.


“Secara umum saya puas hati dengan prestasi atlet yang dilahirkan program terbabit. Biarpun ada yang tidak begitu menyerlah tapi saya yakin dengan peningkatan pengalaman, mereka mampu menjadi penyumbang pingat,” katanya.

Menurutnya, atlet menembak seperti Nur Ayuni Abdul Halim (gambar) dan adiknya Nurrahimin serta Muhammad Zubair Mohamed mempamerkan keupayaan di Sukan Komanwel meskipun tidak menyerlah di Sukan Asia, begitu juga dengan atlet angkat berat.


Atlet pelayaran pula memenangi pingat perak di Sukan Asia melalui acara optimis tapi bagi acara olahraga, beliau berpendapat pendekatan baru perlu diambil untuk memperbaiki kelemahan.


Malah ketika ini, cawangan terbabit mempunyai barisan atlet pelapis serantau diuji di Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur manakala atlet pelapis kebangsaan mewakili negara ke Sukan Sea Indonesia buat kali pertama tahun depan.

Pada masa sama, beliau turut berharap generasi pelapis sedia ada mampu menampilkan kualiti setaraf atlet senior untuk kejohanan lebih besar selepas itu.


Jefri berkata, meskipun perincian mengenai program lapan tahun itu belum dirangka sepenuhnya tapi program sedia ada tetap diteruskan dengan tumpuan diberi kepada atlet di usia semuda mungkin. “Sebenarnya kami sudahpun memulakan program berkenaan tapi secara rasmi ia bermula tahun depan,” katanya.

Antara sukan yang diberi tumpuan ialah gimrama membabitkan atlet seawal usia 7 dan 8 tahun, terjun (7-8 tahun), berbasikal (13 tahun), memanah (13 tahun) dan angkat berat (13 tahun).

No comments:

Post a Comment