ARKIB : 01/09/2010
KUALA LUMPUR - Lima atlet pelapis kebangsaan dari tiga jenis sukan akan dinaikkan taraf ke skuad elit, bagi menyertai temasya Sukan Komanwel di New Delhi pada 3 hingga 14 Oktober ini.
Pengarah Cawangan Atlet Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, antara atlet pelapis kebangsaan yang terpilih adalah Mohd Norahimin Abdul Halim dan Jonathan Wong Wan Jie dalam acara menembak, serta Norqasidah, angkat berat wanita.
Dua lagi atlet ialah dari acara hoki bagaimanapun nama mereka yang terpilih masih belum diperolehi MSN, katanya.
Ia merupakan penyertaan julung kali bagi lima atlet itu dalam temasya sukan berprestij itu, katanya semalam.
Mengenai usaha mencungkil bakat, beliau berkata, "Kita mencungkil bakat keupayaan pelapis negeri bermula pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma)".
Beliau juga berkata, seramai 17 daripada 45 atlet pelapis kebangsaan yang menyertai Sukan SEA di Vientiane, Laos, Disember tahun lepas telah dinaiktaraf untuk menyertai skuad elit pada awal tahun ini.
Mereka dari skuad menembak seramai lima orang, tenpin boling (lima), memanah (tiga), skuasy (dua), berbasikal (satu) dan boling padang (satu). Katanya, atlet pelapis negeri yang ingin menjadi pelapis kebangsaan terlebih dahulu perlu layak beraksi ke Sukan SEA sebelum layak bertanding ke temasya yang lebih besar iaitu Sukan Olimpik atau Sukan Komanwel pada masa akan datang.
Malaysia akan menghantar seramai 203 atlet dan 99 pegawai ke New Delhi untuk menyertai 14 acara iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah. - Bernama
No comments:
Post a Comment