Monday, April 25, 2011

MSN panggil 138 atlit sertai program pelapis

Oleh Hasnira Hassan

PROGRAM pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan dimulakan secara berperingkat pada 1 Januari tahun depan, membuktikan langkah serius dan drastik badan induk sukan itu mengumpulkan kelompok atlit berkenaan.

Selain menjadi laluan kedua buat kumpulan atlit yang sebelum ini terlindung di bawah bayangan dan pencapaian atlit elit, program yang pertama seumpama itu juga dilaksanakan sebagai cabaran kepada kumpulan utama itu.

Pengarah Bahagian Latihan Atlit MSN, Ahmad Shapawi Ismail, berkata sehingga kini, seramai 138 atlit pelapis daripada tujuh sukan utama sudah dikenal pasti membabitkan badminton, bowling, skuasy, berbasikal, angkat berat, tinju dan olahraga.


Melalui pelan rancangan jangka panjang yang diluluskan Lembaga Pengurus MSN, tumpuan akan diberi kepada 19 jenis sukan termasuk akuatik, menembak, memanah, pelayaran, gimnastik, bola sepak, hoki, taekwondo, lawn bowl, karate, wushu dan sepak takraw.

Statistik Cawangan Pelapis MSN sebelum ini menunjukkan seramai 207 atlit pelapis termasuk 103 atlit wanita dikenal pasti daripada 13 persatuan membabitkan 25 jurulatih.

“Ini peluang kedua kepada mereka yang tidak terpilih sebelum ini. Saya tidak nampak banyak kumpulan (atlit pelapis), tapi jumlah yang ada mencukupi bagi menampung persatuan (keperluan). Kita menjangka jumlah atlit akan meningkat selepas Sukan Malaysia (Sukma).

“Apapun sehingga November nanti baru kami boleh kenal pasti usaha semua 19 persatuan sukan, namun tidak semua 19 persatuan dapat berikan (jumlah atlit pelapis dan jurulatih),” kata Ahmad Shapawi pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Cawangan Pelapis, Jefri Ngadirin, semalam.

Selain keutamaan kepada pelapis program elit, program itu juga akan disertai atlit terbaik dipilih daripada pertandingan peringkat negeri lain seperti kategori bawah 15 tahun dan 16 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), kejohanan dan sirkit remaja serta Sukan Malaysia (Sukma).

MSN mengenal pasti Kompleks Sukan Seberang Perai, Pulau Pinang sebagai akademi serantau zon utara dan Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunus, Johor Bharu - zon selatan agar program mensasarkan atlit berusia 17 tahun hingga 23 tahun itu dilaksanakan menyeluruh di pelbagai peringkat.

Difahamkan, kem pemilihan ke akademi terbabit akan diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk sukan angkat berat, memanah, berbasikal, skuasy dan olahraga bagi Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak pada 2 hingga 4 November depan.

Sementara itu, pemilihan bagi Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang untuk sukan angkat berat, memanah, olahraga dan tinju akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus pada 7 hingga 9 November ini.

“Atlit terpilih akan ditawarkan ke akademi zon masing-masing pada Januari dan MSN akan menyediakan pakej latihan seperti elaun, peralatan dan pertandingan serta peluang pendedahan pertandingan dalam dan luar negara, kejurulatihan, pengurusan sepenuh masa, pendidikan serta kebajikan,” kata Ahmad Shapawi.

Read more: http://martialarts.com.my/community/modules/news/article.php?storyid=496#ixzz1KWpVwNcf

No comments:

Post a Comment