Sunday, April 24, 2011

Malaysia Sasar Kedudukan Lima Terbaik Regatta Di Pattaya

April 28, 2010 17:30 PM


LANGKAWI, 28 April (Bernama) -- Malaysia menyasarkan berada dalam kedudukan kelompok lima terbaik pada kejohanan Top of The Gulf Regatta 2010 di Royal Varuna Yacht Club, Pattaya, Thailand selama lima hari mulai Jumaat ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah, yang juga pengurus pasukan Malaysia, berkata 20 pelayar elit dan pelapis kebangsaan mewakili Malaysia dalam kejohanan itu.

Bercakap kepada Bernama sebelum berlepas ke Thailand pada Rabu, beliau berkata, antara pelayar yang mempunyai peluang cerah meraih kejuaraan adalah gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohamad Sayed bagi kategori International 420.

Pasangan itu memenangi pingat emas pada Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Guangdong, China, Mac lepas.

Dua pelayar negara, Muhamad Amirul Syafiq Md Jais dan Khairunneeta Mohd Afendy bagi kategori Byte yang layak mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Remaja di Singapura Ogos ini, turut disenarai menggalas cabaran negara pada kejohanan di Pattaya itu.

Peserta lain termasuk Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan (Laser Standard), Harrithammry Nassution Hairudin (Laser Standard), Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Radial), Nur Amirah Hamid (Laser Radial), Mohamad Faizal Norizan (Optimist), Muhammad Farhan Hamid (optimist) dan Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan (Optimist).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment