Friday, April 22, 2011

Takraw bubar skuad pelapis

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Tiada lagi skuad pelapis yang akan dikendalikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) buat sementara pada tahun ini, sebaliknya kuota pemain bagi skuad elit negara bakal diperluaskan daripada 18 kepada 21 orang.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PSM di Kuching sempena Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-48, baru-baru ini sebagai langkah berjimat cermat ekoran pengurangan peruntukan bajet daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata kepada Utusan Malaysia, semalam, tanpa skuad pelapis, dianggarkan RM1.5 juta bakal dapat dijimatkan yang sekali gus mungkin banyak membantu MSN sepanjang tahun ini.

"Namun tanpa skuad pelapis, PSM kali ini mahukan Pusat Latihan Negeri lebih giat bekerjasama dengan persatuan sepak takraw negeri dan majlis sukannya dalam mencungkil lebih ramai bakat baru remaja sukan ini," katanya.

Mengenai skuad elit, menurut Ahmad, barisan jurulatih negara sudah mengenal pasti dua hingga tiga lagi pemain baru yang bakal dipanggil menjalani latihan pusat di Bukit Jalil mulai awal bulan depan.

Sekalipun cukup berpuas hati dengan pengelolaan Piala Khir dengan kerjasama kerajaan Sarawak yang disifatkannya bertaraf antarabangsa, beliau agak bimbang dengan angka kemunculan bakat baru yang masih rendah.

"Saya dapati setiap kali kejohanan sebesar ini, yang beraksi dan sentiasa menonjol hanyalah pemain skuad elit sekarang dan bekas pemain negara yang jika ini berterusan, membahayakan masa depan sukan sepak takraw kita," katanya.

Majlis tertinggi juga, katanya, akan mengawalkan Kejohanan Piala Ahmad Ismail Siri 3/2011 yang juga kelayakan Siri Super PSM di Bukit Jalil dari 16 hingga 20 April ini berbanding sebelumnya, 17 hingga 23 April.

No comments:

Post a Comment