Utusan Feb 11, 2011 at 03:08 PM
KORAT - Masa depan berbasikal trek negara untuk kekal sebagai kuasa antara besar di Asia dilihat sangat cemerlang, ekoran persembahan bertenaga skuad pelapis pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, yang sedang berlangsung.
Walaupun belum meraih sebarang pingat emas setakat ini, pencapaian pingat perak dalam acara pecut berpasukan kelmarin memperbaiki pencapaian di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang membayangkan perseteruan di antara Malaysia, China dan Jepun akan berterusan pada masa depan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab lega dengan persembahan pelumba trek seperti Jupha Somnet, Muhd Arfy Qhairan Amran, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, Muhammad Syahriwan Mohd Shari, Hamdan Hamidun, Muhammad Fauzan Nor Azman dan Muhammad Firdaus Suardi.
"Jupha meraih dua pingat perak setakat ini. Saya harap dia boleh dapat pingat emas kerana dia dijangka ambil enam acara. Dalam acara pecut berpasukan, pasukan remaja Malaysia telah meningkat dengan cepat.
"Mereka sekadar dapat tempat keempat di Sharjah. Bagaimanapun, mereka berjaya merangkul pingat perak di Korat. Perlu diingat bahawa acara pecut berpasukan dipertandingkan pada Sukan Olimpik. Persembahan Muhd Arfy Qhairant dalam acara 1 kilometer ujian masa juga sangat membanggakan.
"Begitu pencapaian Muhammad Firdaus yang hanya tewas menerusi photo finish pada ketika bersaing dengan pelumba Korea Selatan.
"Secara keseluruhan, saya bangga dengan persembahan pasukan pelapis Malaysia. Ia bermakna Malaysia berpotensi untuk meneruskan kesinambungan sebagai antara kuasa besar acara trek sebagaimana yang berlaku sekarang.
"Saya percaya mereka akan mengambil alih peranan (Mohd) Azizulhasni (Awang), Rizal (Tisin), Muhammad Edrus (Md Yunos), Josiah (Ng) dan Fatehah (Mustafa).
"Bagaimanapun saya tidak akan berpuas hati selagi mereka tidak mendapat pingat emas,' katanya.
Bagaimanapun, Abu Samah percaya Muhd Afry Qhairant dan Somnet berpotensi untuk meraih pingat emas menerusi acara keirin, jika mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada acara tersebut.
Skuad remaja Malaysia meraih lapan pingat pada ACC 2010 di Sharjah, UAE dan berdasarkan persembahan semasa, anak buah jurulatih pelapis, Soud Hussin dan Eddie Norshamsidi Abd Rashid dilihat bakal meneruskan pencapaian cemerlang di ACC 2011
Pada masa sama, beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACC) percaya skuad remaja akan mendapat pengalaman berlatih dan bertanding di kejohanan besar seperti ACC 2011 bersama pelumba trek bertaraf dunia seperti Mohd Azizulhasni, Rizal, Josiah, Muhammad Edrus dan Fatehah.
"Ini situasi yang sangat bagus untuk mereka kerana pelumba senior akan sentiasa menjadi role model dan idola kepada pelumba junior.
"Mereka tidak perlu mencari-cari idola pelumba negara asing kerana Malaysia telah pun mencapai status dunia.
"Malah jurulatih pelapis seperti Soud dan Eddie Norshamsidi juga boleh menerima bimbingan terus daripada John Beasley selaku ketua jurulatih kebangsaan. Saya rasa Beasley sememangnya sentiasa mahu berkongsi pengalaman dengan jurulatih tempatan," katanya
No comments:
Post a Comment