smriduan@nstp.com.my
2010/08/17
PUSINGAN ketiga, Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2010 di Thailand yang jatuh pada Aidilfitri, bulan depan mungkin akan berlangsung tanpa kehadiran kontinjen negara sekiranya pelumba enggan mengorbankan sambutan perayaan mereka.
Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Naim Mohamad berkata, perbincangan sedang dijalankan oleh ketua jurulatih, John Beasley dengan pasukan pelapis kebangsaan mendapatkan wakil ke kejohanan pada 11 sehingga 13 September itu. “Rugi sekiranya kita tidak menghantar wakil ke kejohanan itu kerana ia membuka peluang kepada negara untuk menambah mata selepas dua pusingan berakhir,” kata Naim. “Sehari dua lagi, saya akan mengesahkan dengan pihak pelapis jika ada pelumba yang ingin pergi. Menurut Naim, pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) sudah merayu kepada penganjur, Thailand untuk mengubah tarikh kejohanan, tetapi tidak berjaya memandangkan segala persiapan membabitkan penajaan dan lokasi sudah ditetapkan.
“Beasley juga sedang melihat kemungkinan menghantar pelumba elit yang tidak tersenarai ke Sukan Komanwel beraksi di Piala Asia ACC,” kata Naim.
Sementara itu, dua pelumba pelapis yang sedang meningkat naik, Mohd Fattah Amri Zaid dan Mohd Arfy Qhairant yang baru menamatkan saingan di Kejohanan Remaja Dunia di Montichiari, Itali diharap dapat menerajui cabaran pelapis di Thailand nanti.
“Fattah dan Arfy sebelum ini begitu menyerlah di Piala Asia pusingan kedua di Kuala Lumpur, dan saya harap mereka akan bersemangat untuk terus mengemudi cabaran pelumba remaja di pusingan terakhir nanti,” kata Naim.
No comments:
Post a Comment