Friday, April 22, 2011

Boling buntu fikir nasib pelapis negara

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

AHMAD Shabery Cheek (tengah) merasmikan pelancaran Sports Venchise Business di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Syefry Moniz

KUALA LUMPUR - Seperti mana-mana persatuan sukan lain, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) juga terpaksa 'mengikat perut' berikutan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

Berikutan itu, MTBC bukan saja pening kepala terpaksa membubarkan pasukan pelapis skuad elitnya, malah mereka selepas ini juga perlu mengambil pendekatan lebih selektif dalam menghantar pemain-pemain ke kejohanan antarabangsa.

Biarpun ia satu perkembangan yang kurang menyenangkan, pengurus prestasi tinggi skuad tenpin boling kebangsaan, Cheah Ban Cheng tetap optimis dan berkata, 'hidup perlu diteruskan'.

Menurutnya, MTBC pada awal bulan ini mengumumkan barisan 18 pemain yang menyaksikan lima muka baru diserap ke dalam skuad elit tersebut.

"Tujuh anggota skuad elit lelaki yang dikekalkan ialah Alex Liew, Daniel Lim, Zulmazran Zulkifli, Adrian Ang, Aaron Kong, Mohd. Nur Aiman dan Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek.

"Sementara bagi skuad wanita pula, kepercayaan masih diletakkan ke atas Wendy Chai, Esther Cheah, Zandra Aziela Ibrahim Hakim, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman Sharon Koh serta Zatil Iman Abdul Ghani

"Lima bekas pemain pelapis elit wanita yang mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun lalu iaitu Jacqueline Jenelee Sijore, Sin Li Jane, Dayang Khairuniza Dhiyana, Siti Shazwani Ahmad Suhaimi dan Hee Kar Yen melengkapkan senarai skuad elit pilihan jurulatih, Holloway Cheah," katanya ketika dihubungi semalam.

Pemain veteran, Shalin Zulkifli terpaksa diketepikan kerana hamil

Mengenai tugasan pasukan selepas ini, pemain-pemain akan beralih fokus kepada membuat persiapan menghadapi Terbuka Malaysia yang akan berlangsung 20-28 Mei depan.

Tambahnya, kekurangan bajet memaksa MTBC melupakan hasrat menghantar pemain-pemain ke Terbuka Thailand pada pertengahan bulan hadapan.

"Kami perlu memilih kejohanan yang kompetitif untuk pemain-pemain... kami mensasarkan beberapa kejohanan di Eropah, mungkin dua tapi belum ditentukan yang mana," ujarnya.

Ban Cheng memberitahu, MTBC akan menghadiri pertemuan dengan MSN dan dijangka mengemukakan beberapa lagi permintaan, namun dia tidak ingin mendedahkan butiran tersebut.

"Selepas ada keputusannya nanti akan saya maklumkan kelak," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong ketika dihubungi berkata, pemotongan bajet adalah tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan semua persatuan dan bukannya MTBC saja.

Ujarnya, tahun ini, MSN hanya memperuntukkan dua kejohanan luar negara untuk skuad boling kebangsaan berbanding empat tahun lalu.

No comments:

Post a Comment