24 April 2011
PELUMBA pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) membuktikan betapa mereka harus dihormati apabila pelumbanya, Mohd. Shahrul Mat Amin melakukan kejutan mengetepikan beberapa pelumba pilihan selepas muncul juara acara elit lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan 2011 Sirkit Melaka (GP Melaka) di Bukit Katil sejauh 156 kilometer semalam.
Mohd. Shahrul bertindak berani melakukan pemecahan secara bersendirian ketika perlumbaan bersisa 40 kilometer sebelum saling bekerjasama dengan pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Zamri Salleh pada 5km terakhir untuk menang dengan rakaman masa 4 jam 00 minit 55.281 saat dengan purata kelajuan 38.851kmj.
"Saya terpaksa gunakan kudrat yang ada untuk melakukan henjutan ke garisan penamat. Saya tahu Mohd. Zamri adalah seorang pemecut yang handal. Jadi saya terpaksa melakukannya lebih awal. Saya memang mahu menang.
"Saya demam ketika berkayuh pada GP Kuala Lumpur bulan lalu. Saya datang ke Melaka dalam keadaan yang cukup bersedia. Saya gembira kerana impian untuk menang tercapai juga akhirnya," katanya.
Mohd. Shahrul mengenepikan Mohd. Zamri dengan kelebihan 2.389s manakala pelumba serba boleh, Mohamad Aim Mohamad Fauzi menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 4:04:25.516s.
GP Melaka turut menyaksikan penampilan semula jaguh kebangsaan, Mohd. Fauzan Ahmad Lufti tetapi dia sekadar menduduki tempat ke-8 di belakang Akmal Amrun, Ng Yong Li dan Anuar Manan.
Kategori elit wanita menyaksikan berlaku sedikit kejutan apabila Jupha Somnet pemenang enam pingat pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat, Nakhon Ratchasima menewaskan tiga pelumba berpengalaman untuk muncul juara.
Dengan catatan masa serupa 3:18:58s, Somnet berjaya menangkis asakan Mariana Mohamad yang menduduki tempat kedua diekori Masyizaton Mohd. Radzi (ke-3) dan Nurul Ahmar Badeuzzaman.
"Saya baru pertama kali menyertai kategori elit wanita. Sebelum ini saya berkayuh dalam kategori remaja. Jadi saya berasa sangat gembira kerana menang pada penampilan pertama dalam kategori elit wanita.
"Strategi saya cukup mudah. Saya tahu perlumbaan akan habis pada selekoh yang agak tajam. Jadi saya lebih awal mengambil selekoh dan terus melakukan henjutan ke garisan penamat. Percaturan saya berbaloi," katanya.
Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri terus membuktikan kehebatan apabila muncul juara kategori remaja lelaki untuk kali ketiga berturut-turut dengan catatan masa 2:42:54.005s.
Pelumba pelapis kebangsaan itu sebelum ini menduduki tempat pertama pada GP Kelantan dan GP Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment