ARKIB : 05/09/2009
KUALA LUMPUR – Hanya 29 daripada antara 300 hingga 400 atlet negara yang akan ke Sukan SEA di Laos, Disember ini terdiri daripada atlet pelapis kebangsaan, sementara selebihnya atlet senior, sama ada daripada Projek Cabaran 2010 atau Program Road to London 2012.
Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (gambar) berkata, sehingga kini semua persatuan sukan yang akan ke Laos hanya menyerahkan nama 29 atlet pelapis ke temasya tersebut.
Sukan olahraga paling banyak menyenaraikan atlet pelapis iaitu seramai tujuh orang dan diikuti dengan karate (6), wushu (4), menembak (3), angkat berat (2), badminton (2), basikal (2), tinju (2) dan judo (1), katanya semalam.
Beliau berkata, kesemua 26 atlet pelapis itu diletakkan di bawah kategori A, sementara tiga lagi di bawah kategori B iaitu dua orang dari angkat berat dan satu dari pasukan basikal.
“Acara judo juga sedang merayu untuk memasukkan 2 lagi atlet mereka di bawah kategori B,” katanya.
Program Cabaran 2010 ialah program persiapan atlet bagi Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China yang kedua-duanya akan berlangsung pada 2010 sementara Road to London ialah program untuk mencari emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik di London pada 2012.
Bagi atlet kategori A, segala perbelanjaan mereka ke temasya tersebut akan ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sementara perbelanjaan atlet kategori B perlu ditanggung oleh persatuannya tetapi MOM akan membayar kembali perbelanjaan tersebut sekiranya atlet terbabit meraih pingat emas atau perak.
Sementara itu, Setiausaha kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan jumlah sebenar atlet Malaysia ke Laos akan diketahui pada pertengahan Oktober ini.
Katanya, Jawatankuasa Pemilihan MOM masih mempunyai dua lagi mesyuarat iaitu pada 8 September dan 8 Oktober untuk mendengar rayuan persatuan sukan untuk ke Laos.
“Selepas tempoh tersebut dan berakhirnya semua kejohanan bagi kelayakan ke temasya tersebut, kita akan tahu jumlah sebenar atlet yang layak ke Laos,” katanya.
Ketua kontinjen Sukan SEA Laos, Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz sebelum ini menganggarkan kontinjen Malaysia akan diwakili antara 300 hingga 400 atlet yang akan bertanding dalam 21 daripada 25 acara yang dipertandingkan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment