ARKIB : 19/05/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Ahmad Shabery Cheek (tengah) bersama Piala Pusingan Futsal Felda/FAM pada majlis pelancaran dan undian di Dewan Perdana Felda. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KUALA LUMPUR - Cakap-cakap mengenai kelemahan skuad badminton negara masih lagi kedengaran selepas gagal menjulang Piala Thomas 2010 di bumi sendiri, kali ini Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegur tentang ketiadaan pemain pelapis yang berkualiti.
Menurutnya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya memikirkan tentang ketiadaan pemain pelapis yang bagus kerana perkara tersebut bukannya baru dan dalam masa yang sama tidak boleh mengharap sepenuhnya kepada pemain veteran.
"Kita tidak boleh mengharapkan kepada pemain lama kerana mereka juga ada had atau tempoh setakat mana mereka mampu menyinar dan membantu skuad kebangsaan mencipta kejayaan," katanya selepas Majlis Undian Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM semalam.
Jelasnya, masalah ini bukan saja dihadapi oleh Malaysia, malah pasukan seperti Denmark dan Indonesia juga kekurangan pemain pelapis yang bagus.
"Pemain muda yang ada sekarang perlu buktikan mereka lebih baik berbanding pemain perseorangan Wong Choong Han dan Muhammad Hafiz Hashim, mereka sangat dialu-alukan untuk memperkuat pasukan.
"Pemain muda tidak boleh hanya beraksi cemerlang ketika di peringkat remaja saja tetapi bila bermain di peringkat senior gagal mengulangi pencapaian terbaik mereka," katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery juga mahu pasukan teknikal Datuk Lee Chong Wei melihat semula punca utama pemain No. 1 dunia itu tewas kepada pemain China, Lin Dan dalam saingan separuh akhir Piala Thomas 2010 sebelum ini.
"Situasi hampir sama pernah berlaku sebelum ini. Tiga bulan sebelum Sukan Olimpik 2008, Chong Wei pernah menewaskan Lin Dan tetapi apabila bertemu semula di final Olimpik, dia kalah mudah kepada pemain itu. Perkara yang sama berulang pada Piala Thomas, jadi kita kena fikir bagaimana Lin Dan mampu mempertingkatkan aksinya sebelum kejohanan besar.
"Adakah ketika dia tidak beraksi sebelum kejohanan besar merupakan satu taktik atau dia sekadar berlatih sambil menonton video mencari kelemahan Chong Wei dan kelemahan dirinya sendiri, semua itu patut kita ambil berat," katanya.
Jelasnya, jika Lin Dan menjadikan tontonan video sebagai salah satu caranya membaca pergerakan lawan, Malaysia juga harus melakukan perkara yang sama.
Pada aksi Piala Thomas 2010 yang berakhir Ahad lepas, skuad negara yang diketuai Chong Wei terkandas di peringkat separuh akhir selepas tewas 3-0 kepada China yang muncul juara setelah menewaskan Indonesia, juga dengan keputusan 3-0 pada perlawanan akhir.
No comments:
Post a Comment