Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my
SEKIRANYA itulah yang diputuskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, atlet pelapis kebangsaan nampaknya tidak mempunyai pilihan selain menggalas tugas penting di Sukan Sea Palembang, November ini.
Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin berkata, sebelum ini penyertaan atlet pelapis di Sukan Sea lebih kepada pendedahan pertandingan di peringkat antarabangsa tetapi kali ini mereka disandarkan harapan untuk meraih pingat.
“Persediaan memang sudah dibuat untuk menghadapi Sukan Sea yang dilihat cukup penting dalam program atlet pelapis.
“Malah, jika dilihat kepada pencapaian atlet pelapis dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini, tidak mustahil jika mereka mampu meraih pingat di Sukan Sea kelak,” katanya.
Antara atlet yang disandarkan harapan pingat menurut Jefri termasuklah pemenang pingat emas acara berbasikal pecut 200m di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Korat, baru-baru ini iaitu Muhd Arfy Qhairant Amran.
Atlet lain yang turut menjadi taruhan skuad pelapis termasuk dari sukan lompat tinggi serta judo malah tidak mustahil atlet lawan pedang yang kini menduduki ranking kelapan Asia turut berpeluang meraih pingat emas.
“Sebelum ini, seramai 39 atlet pelapis menyertai Sukan Sea Vientiane dan ada yang membawa pulang pingat emas. Tidak mustahil juga sasaran itu mampu dicapai dalam temasya sukan kali ini,” katanya.
Kelmarin, Zolkples mencadangkan supaya atlet pelapis dan pembangunan dihantar ke Sukan Sea kali ini memandangkan status temasya sukan dwitahunan itu yang semakin tercalar gara-gara sikap tuan rumah yang tetap mempertahankan pendirian mereka untuk mempertahankan sukan dan acara yang dianggap tidak menepati standard Olimpik.
Meskipun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut mencuba melembutkan hati penganjur supaya menyenaraikan 60 acara yang digugurkan tetapi tidak semuanya dipenuhi tuan rumah yang mengorbankan billiard dan snuker serta bola sepak wanita.
Acara lain yang turut ditolak Indonesia ketika mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF) di Denpasar, Bali minggu lalu ialah bowling ‘all event’, lumba jalan kaki 50km (lelaki), menembak berpasukan, beberapa acara gimrama dan ping pong berpasukan
No comments:
Post a Comment