8 Jun 2011
KUALA LUMPUR - Hari terakhir acara basikal trek Sukan Malaysia XIV di Velodrom Cheras semalam, meninggalkan kenangan manis buat pelumba wanita Terengganu, Ummi Hamimah Mohamad apabila mengenepikan pelumba pilihan Ju Pha Som Net dari Perlis untuk memenangi emas acara keirin.
Ketika tumpuan lebih terarah kepada Ju Pha, Ummi tanpa diduga melakukan pecutan lebih pantas berbanding pelumba berketurunan Siam itu, untuk mengesahkan pingat emas ketiga pada temasya sukan kali ini.
Sebelum ini, Ummi cemerlang dengan dua pingat emas dalam acara pecut berpasukan dan kejar mengejar berpasukan, berganding dengan Zahraa Anuawar.
Tiga emas yang dimenanginya menjadikan dia sebagai penyumbang terbanyak pingat emas untuk kontinjen Terengganu.
Menurut Ummi, kejayaan meraih emas dalam acara keirin akhir wanita semalam, adalah hasil kerjasama rakan sepasukan, Zahraa yang turut layak ke saingan akhir semalam.
"Jika saingan akhir keirin mempunyai dua pelumba dari pasukan yang sama ia akan memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut, itulah yang berlaku kepada pasukan Terengganu sebentar tadi, saya dan Zahraa mengatur strategi dengan baik," katanya.
Walaupun berjaya mengalahkan Ju Pha, Ummi tetap menghormati lawannya yang dua tahun lebih tua darinya, dalam saingan akhir keirin yang turut menampilkan tiga lagi pelumba, Nurul Sakinah Abd Karim (Johor), Nurul Ahmar Badeuzzaman dan Mardiana Mohd. Radzi.
"Ketika saingan akhir acara keirin, saya rasa begitu gugup terutama sekali apabila menghampiri garisan penamat, terutama apabila saya ternampak kelibat tayar basikal Ju Pha yang mahu memintas saya.
"Ketika itu kaki saya menggeletar, namun saya mengekalkan kepantasan kayuhan sehingga menjadi pelumba pertama yang sampai ke garisan penamat.
"Ini adalah emas ketiga saya dan paling menarik emas individu pertama saya," katanya.
Selain berasal dari daerah yang sama iaitu Dungun dengan pelumba trek sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang, bakat Ummi juga turut dicungkil orang yang sama iaitu jurulatih Rozimi Omar.
No comments:
Post a Comment